SELEPAS berjaya membenamkan Turkmenistan dengan jaringan 3-1, penyokong nampaknya sudah tidak sabar untuk menantikan perlawanan Harimau Malaya menentang Bahrain pada Sabtu.
Menerusi permainan penuh bertenaga dan taktikal baharu yang diterapkan Kim Pan-gon, kemampuan sebenar pemain mula terserlah sekaligus menambah keyakinan penyokong untuk terus berada di belakang Harimau Malaya.
Namun menentang Bahrain bukanlah semudah menentang Turkmenistan. Malah, di atas kertas, kedudukan skuad bola sepak kebangsaan berada jauh di bawah pasukan tersebut yang kini berada di tangga ke 89 dunia.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon juga mengakui kekuatan Bahrain tetapi tidak menolak akan berlaku kejutan dalam perlawanan tersebut.
Bahrain yang dikendalikan jurulatih dari Portugal, Helio Sousa juga nampaknya cukup berhati-hati menjelang pertemuan menentang Malaysia.
Aksi pemain bola sepak negara ketika bertemu Turkmenistan baru-baru ini. — Facebook/FAM
Malah, ketika perlawanan menentang Turkmenistan, terlihat kelibat beberapa pegawai pasukan Bahrain yang dilihat cuba membaca dan menyaksikan sendiri corak permainan negara.
Bukan itu sahaja, seorang pengamal media sukan, Zulhelmi Zainal Azam juga memberitahu yang kemampuan sebenar Bahrain tidak boleh diukur menerusi perlawanan menentang Bangladesh sebelum ini.
"Pasukan itu dikatakan menyimpan kekuatan sebenar, malah sangat serius dan terlalu terperinci sehingga difahamkan telah menukar lokasi penginapan mereka ke kawasan yang lebih tertutup," katanya.
Maklumat itu menunjukkan yang Bahrain nampak begitu serius mahu menang ke atas Malaysia apatah lagi bila berdepan dengan penyokong negara yang akan membanjiri stadium pada Sabtu.
Untuk rekod, dalam pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan Mei tahun lepas, Bahrain menundukkan Malaysia yang ketika itu di bawah bimbingan bekas Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, dengan jumlah 2-0.
Malaysia dan Bahrain kini berkongsi tiga mata di kedudukan teratas Kumpulan E selepas masing-masing menewaskan Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 2-0 di Stadium Nasional, Rabu lepas.
Hanya juara dan lima naib juara teratas kumpulan akan layak ke final Piala Asia 2023 dengan kemunculan terakhir Malaysia dalam kejohanan berprestij pada 2007 itu selaku tuan rumah bersama tetapi lebih 40 tahun skuad kebangsaan gagal untuk mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram