AMALAN bersyampu mungkin kelihatan seperti sesuatu yang ringkas dan mudah.
Malangnya, tidak ramai yang tahu cara menyikatnya yang betul sehingga tiba-tiba rambut mereka menjadi kusam, mudah gugur malah rosak teruk.
Untuk tidak melakukan perkara yang sama, berikut adalah lima kesilapan paling biasa berlaku semasa bersyampu yang boleh menyebabkan masalah rambut.
1. Tidak membasahkan rambut dengan sempurna
Rambut perlulah dibasahkan dengan sempurna sebelum bersyampu. — Getty Images
Rambut yang tidak basah dengan sempurna berpunca sama ada kerana seseorang itu tergesa-gesa atau pancuran air di bilik mandi tidak terlalu deras.
Ketika mandi, anda diingatkan untuk membasahkan setiap helaian rambut supaya manfaat syampu mampu membersihkan rambut daripada minyak dan kekotoran.
Oleh itu, lebih banyak masa diperlukan untuk memastikan setiap helaian rambut dibasahkan.
Selain itu, rambut yang disyampu tetapi tidak dibasahkan terlebih dahulu akan menyebabkan ia kelihatan seperti ditarik secara paksa kerana tidak licin, sehingga menyebabkan rambut gugur secara berlebihan.
2. Menggunakan terlalu banyak syampu
Cara terbaik untuk bersyampu adalah dengan menggunakannya pada kadar yang mencukupi.
Ini bermaksud, kuantiti syampu tidak boleh terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.
Selain pembaziran, terlalu banyak syampu untuk rambut berwarna juga boleh menyebabkan ia cepat pudar.
Sebaliknya, penggunaan syampu yang terlalu sedikit akan memberi manfaat yang tidak maksimum ketika membersihkan rambut.
Cara mengukur dos syampu boleh disesuaikan dengan saiz, panjang dan keadaan rambut.
Tuangkan syampu secukupnya di tapak tangan dan gosokkannya sebelum diurut ke atas rambut dan kepala.
3. Mengurut kulit kepala
Menggosok dan mengurut kulit kepala dengan lembut adalah langkah untuk mendapatkan manfaat maksimum daripada syampu.
Sebaik-baiknya, urut lembut bermula dari kulit kepala, menuju ke tengah dan berakhir di hujung rambut.
Lakukan langkah ini selama sekurang-kurangnya tiga minit supaya kandungan bermanfaat syampu menyerap dengan sempurna.
Selain itu, permulaan mengurut kulit kepala juga menyebabkan kotoran dan minyak hilang secara menyeluruh.
4. Tidak bilas sehingga bersih
Anda disarankan untuk membilas rambut sehingga bersih selepas bersyampu. — Getty Images
Bagi sesetengah orang yang mempunyai rambut panjang, mereka perlu membuat bilasan pada dua peringkat.
Aktiviti bersyampu pada kali pertama bertujuan membersihkan kawasan kulit kepala dan pangkal rambut. Kemudian bilas hingga bersih dengan air mengalir.
Peringkat kedua bersyampu adalah dengan menggunakan syampu pada kuantiti sedikit, bertujuan membersihkan bahagian tengah rambut hingga ke hujung.
Anda perlu bilas dengan melakukan pergerakan seperti mengurut supaya dapat membuang rambut gugur dan tiada lagi syampu tersisa.
5. Salah guna perapi rambut
Sapukan perapi secara merata menggunakan sikat bergerigi jarang untuk mengelakkan rambut kusut dan rosak. — Gambar hiasan
Perapi biasa digunakan sebagai pilihan terakhir untuk mengekalkan rambut yang sihat.
Semasa penggunaannya, perapi hanya perlu disapu pada bahagian bawah rambut.
Elakkan menggosok perapi pada kulit kepala, kerana ia boleh menyebabkan kulit dan akar rambut menjadi terlalu berminyak.
Malah, kulit kepala boleh menghasilkan minyak semula jadi.
Dalam sesetengah kes, penggunaan perapi pada kulit kepala boleh menyebabkan kegatalan pada rambut hingga kelemumur.
Apabila perlu, sapukan perapi secara merata menggunakan sikat bergerigi jarang untuk mengelakkan rambut kusut dan rosak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram