Semua sepakat projek pembangunan FAM gagal


  • Podium
  • Selasa, 07 Jun 2022

FAM disifatkan gagal oleh penyokong apabila Harimau Muda kalah di tangan Thailand 0-3 pada aksi kedua Kumpulan C Piala Asia B-23 di Stadium Bunyodkor, Uzbekistan pada Ahad. — Facebook FAM

RAKYAT Malaysia terpaksa melupakan hajat untuk menyaksikan pasukan bawah 23 tahun (B23) beraksi lebih baik pada di peringkat antarabangsa apabila Harimau Muda kalah di tangan Thailand 0-3 pada aksi kedua Kumpulan C Piala Asia B-23 di Stadium Bunyodkor, Uzbekistan pada Ahad.

Kekalahan itu sememangnya membuatkan penyokong bola sepak tanah air berasa kecewa kerana mereka mengharapkan ada penambahbaikan dalam skuad itu selepas kecundang dalam beberapa kejohanan penting sebelum ini.

Tidak dapat dinafikan susulan kekalahan itu ramai penyokong mengecam barisan pemain dan jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney kerana persembahan yang diberikan mereka seakan tidak mempunyai peningkatan.

maloney

Penyokong turut meminta agar Brad Maloney digantikan dengan jurulatih baharu. — Facebook FAM

Bukan hanya pemain dan jurulatih yang dikecam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut terpalit sama apabila dikritik hebat oleh para penyokong dan mereka menyifatkan persatuan itu gagal dalam membangunkan bola sepak negara.

Kelab penyokong Penang FC, Penang Brotherhood dalam hantarannya menyindir sasaran srategik FAM dalam pembangunan bola sepak negara yang kononnya ingin membawa pasukan kebangsaan ke peringkat akhir namun pada peringkat kumpulan sahaja sudah tersungkur.

"Layak ke Final tapi peringkat kumpulan sahaja pun cirit, sembang bab* terbang bolehlah tuan-tuan. Sebab tu mamu tidak ambil peduli sangat lepas dia kata timba pengalaman saja," kata Penang Brotherhood.

Laman penyokong skuad kebangsaan, Harimau Malaya pula mengkritik perancangan FAM yang juga dianggap gagal kerana sebelum ini persatuan itu menunda perlawanan Liga Super bagi memberi laluan kepada persiapan skuad B23 tapi hakikatnya menjadi perngorbanan yang sia-sia.

"Perlawanan Liga Super melibatkan Selangor dan Terengganu ditunda sehingga dua bulan untuk beri laluan kepada persiapan skuad Malaysia B-23. Pingat Sukan SEA tak dapat. Piala Asia B-23 balik awal. Apa pun tiada. Perancangan FAM selalunya gagal," ujar laman tersebut.

Sebelum ini, FAM menunda dua perlawanan pasukan berkenaan kerana skuad kebangsaan banyak menggunakan khidmat bintang muda dua kelab terbabit untuk mewakili Malaysia, termasuk pemain dari Selangor FC yang juga merupakan kapten Harimau Muda, Mukhairi Ajmal.

Ultras Nogori 9 pula menulis dalam hantarannya, pembangunan FAM akan terlihat lebih gagal jika skuad Harimau Malaya tidak dapat melayakkan diri ke Piala Asia 2023 dan mereka menyeru agar presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk meletakkan jawatan.

"Apa yang menang di hati? Kau ingat ni bercinta ke 10-20 tahun nak menang kat hati saja. Kalau skuad senior tak layak juga ke Piala Asia 2023. Hamidin dah boleh letak jawatan, makin sampah bola sepak Malaysia bawah kau," tulis pengendali laman itu.

Perak FC Supporters turut menyuarakan kekecewaan terhadap pasukan kebangsaan itu dan bagi mereka Harimau Muda sudah mencalarkan maruah negara kerana kalah besar pada perlawanan menentang Thailand.

"Tidak payah main bola. Buang duit, calar maruah negara," katanya.

hm

Harimau Malaya akan membuka tirai pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 (Kumpulan E) bermula Rabu ini menentang Turkmenistan. — Facebook FAM

Sementara itu, Hamidin akui kecewa dengan aksi skuad B-23 kendalian Brad Maloney tetapi enggan memberi komen lanjut buat masa ini kerana ingin menunggu laporan penuh terlebih dahulu sebelum buat tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram