SEORANG jemaah umrah wanita yang baru pulang dari Tanah Suci meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat, dipercayai akibat komplikasi darah tinggi.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 1.10 tengah hari.
Kejadian berlaku di laluan Gate 12 KLIA untuk pesawat MH8021.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal terhadap wanita berusia 53 tahun itu mendapati tiada kesan mencurigakan dan berdasarkan maklumat, wanita berkenaan menghidap penyakit darah tinggi.
"Jenazah wanita itu dihantar ke Hospital Serdang, Selangor dengan diiringi pihak Kementerian Kesihatan (KKM) KLIA kira-kira pukul 2.30 petang," katanya.
Terdahulu, tular menerusi media sosial wanita berkenaan didakwa pengsan dan rebah sejurus keluar dari pintu pesawat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram