HASRAT skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan pembukaan kejohanan Piala Asia B-23 tidak kesampaian, apabila tumpas kepada Korea Selatan 1-4 pada Khamis.
Keputusan itu nyata mengecewakan para peminat tempatan, yang mahu melihat Harimau Muda mengikat Korea Selatan, sekali gus mencerahkan peluang untuk mengulangi pencapaian edisi 2018 iaitu layak ke suku akhir.
Tidak hairanlah, ramai yang masih kurang yakin dengan kemampuan skuad muda negara pada kempen kali ini terutamanya apabila kembali bertemu Thailand dalam aksi kedua Piala Asia B-23 berdepan Thailand pada Ahad (pukul 11 malam waktu Malaysia).
Tambahan pula, ketua jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney masih memberi pujian terhadap persembahan skuadnya meskipun ia merupakan kekalahan besar.
"Kami sudah menjangkakan perlawanan yang sukar apabila bertemu dengan juara bertahan (Korea Selatan) yang mana mereka benar-benar memberi kesukaran kepada kami untuk beraksi dengan baik.
"Tetapi saya bangga dengan persembahan pemain saya yang tidak pernah mengaku kalah. Mereka berjaya memperoleh satu gol dan kemudian terus cuba menekan untuk mengejar gol dan beberapa kesilapan telah mengundang padah buat kami," katanya.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, Amirul Choding berkata, sikap Brad digambarkan berbeza dengan Kim Pan-gon kerana dilihat terlalu mudah berpuas hati ke atas corak permainan skuadnya.
Justeru, dia menggesa Brad untuk menjadi lebih tegas dan bersikap jujur meskipun ia pahit untuk ditelan.
"Mana boleh puas hati. Kalah kot. Ini bukan mentaliti yang perlu ada dalam pasukan. Sedangkan KPG (Pan-gon) pun tak puas hati walaupun menang," katanya.
Meskipun memuji pengurusan bola sepak negara yang memuji pemainnya walaupun kalah, Mie tidak menafikan bahawa setiap pujian yang dilemparkan akan 'melemakkan' pemain.
"Tiada kerisauan dari pemain jika kalah pun tetap dipuji. Cubalah kritik yang membina sikit supaya pemain sedar silap," ujarnya.
Tangkap layar komen netizen yang kecewa dengan sifat tidak tegas Brad terhadap skuadnya.
Sementara itu, Rossaidi Rossaidi berkata, taktikal dan corak permainan yang digunakan tidak bersesuaian dengan DNA bola sepak Malaysia.
Katanya, perkara yang perlu dititik beratkan kepada pemain adalah kemahiran individual yang tinggi, kelajuan, agility (ketangkasan), stamina kawalan bola, hantaran bola pendek dan high pressing.
"Ia bersesuaian dengan fizikal pemain Asia Tenggara. Brad ni dibayangi corak Inggeris.
"Hantaran tinggi, tiada kreativiti mencorak permainan dengan menggunakan kelebihan kemahiran pemain dan dibantu kegagalan pertahanan yang lemah membuat keputusan bila diasak," jelasnya.
Untuk rekod, ketika perlawanan menentang Thailand di peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA baru-baru ini, Harimau Muda menang 2-1, namun Thailand terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika itu apabila seorang pemainnya, Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama.
Selepas bertemu Thailand, anak-anak buah Maloney bakal membuat perhitungan dengan Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan pada 8 Jun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram