Dulu PH batalkan projek pengangkutan awam, kini nak jadi hero salahkan kerajaan — Ka Siong


  • Politik
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Pengangkutan awam yang efisien dilihat sebagai cara untuk mengatasi kesesakan jalan raya di ibu kota.

KESESAKAN lalu lintas yang teruk di negara ini, khususnya di Lembah Klang, adalah kerana Pakatan Harapan (PH) menangguhkan beberapa projek infrastruktur pengangkutan awam.

Perkara itu ditegaskan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya pada Sabtu.

"Apabila Pakatan menjadi kerajaan pada 2018, mereka menangguhkan beberapa projek awam mega, termasuk HSR, Johor Woodlands RTS Link dan projek rel Landasan Berkembar Elektrik.

"Malah, mereka juga telah mengecilkan projek LRT3 dengan membatalkan lima stesen dan kerja-kerja membina terowong serta mengurangkan gerabak keretapi yang pada akhirnya menyebabkan projek itu tertangguh sehingga ke tahun 2024," katanya.

Beliau menjawab soalan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang berkata, terdapat keperluan untuk membangunkan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Pengoperasian projek MRT 2 juga telah ditangguhkan sehingga 16 Jun ini selepas PH mengabaikan projek itu.

"Sebagai kerajaan 'anti-pengangkutan awam', PH telah membatalkan banyak projek pengangkutan awam yang boleh menyelesaikan kesesakan lalu lintas. Tetapi sekarang apabila menjadi pembangkang, Chin Tong dilihat bersikap hipokrit atau penuh kepura-puraan dengan bertanya bagaimana untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas.

"Saya tidak mengatakan Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas tetapi saya telah menekankan bahawa MOT sedang berusaha untuk menyelesaikannya," katanya.

Ka Siong berkata, JPJ juga telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berhubung Peraturan Larangan Waktu Terhad bagi kenderaan barangan melibatkan kenderaan berat yang memasuki ibu kota pada waktu puncak.

"Justeru saya telah mengarahkan JPJ menambah tenaga kerja mereka bagi menguatkuasakan peraturan ini dengan harapan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas termasuk meminta lebih ramai polis trafik mengawal lalu lintas di kawasan yang mengalami kesesakan teruk.

"Dalam jangka panjang, kita perlu meningkatkan kualiti pengangkutan awam kita dan mengurangkan kesesakan lalu lintas berikutan bilangan kereta yang tinggi di jalan raya," katanya.

Ka Siong berkata, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan tiga projek lebuh raya baharu dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL mengkaji pendekatan berbeza untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Cadangan Chin Tong ini sangat mudah iaitu kerajaan mesti menyokong dan memberi subsidi untuk pengangkutan awam yang telah kita lakukan dengan peruntukan RM115 juta untuk pas perjalanan tanpa had My50 dan My100.

"Saya tertanya-tanya berapa banyak lagi kerajaan yang Chin Tong dakwa hampir muflis, perlu meningkatkan subsidinya," tanya Ka Siong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram