Remaja 18 tahun antara 5 ditahan, rompak kereta dari bengkel


  • Benua
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Lima orang termasuk seorang remaja berusia 18 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa siri rompakan kereta di Singapura. — Agensi

LIMA orang termasuk seorang remaja berusia 18 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa siri rompakan kereta di bengkel kenderaan, kata polis Singapura pada Jumaat (3 Jun).

Antara 23 hingga 31 Mei lalu, polis menerima laporan bahawa enam kereta dicuri dari bengkel sekitar Kim Chuan Terrace dan Kaki Bukit Road 4, Singapura.

Siasatan awal mendapati kereta itu tidak dikunci dan kuncinya ditinggalkan di dalam kenderaan yang diletakkan di bengkel.

Melalui siasatan dan bantuan rakaman daripada kamera Polis dan kamera litar tertutup (CCTV), pegawai dari Bahagian Polis Bedok, Polis Ang Mo Kio dan Jabatan Perisikan Polis, berjaya mengenal pasti identiti enam individu.

Lima suspek berkenaan berusia antara 18 dengan 45 tahun dan ditahan antara 1 hingga 3 Jun.

"Seorang daripada suspek tersebut, lelaki berusia 29 tahun, didakwa mempunyai kad pengenalan milik orang lain semasa ditahan," kata polis lapor Channel News Asia.

Dia ditahan atas kesalahan tambahan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1965.

Lima kereta sudah ditemui semula dan siasatan terhadap seorang lelaki berusia 42 tahun dan dua wanita masing-masing berumur 34 dan 36 tahun, masih diteruskan.

Lelaki berusia 29 tahun itu serta dua lagi suspek iaitu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dan lelaki, 45 tahun akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (4 Jun) atas tuduhan mencuri kenderaan bermotor dengan niat sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Bagi kesalahan memiliki kad pengenalan orang lain tanpa diberi kuasa sah, lelaki itu boleh didenda sehingga S$10,000 (RM31,938) penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kunci kereta di dalam kenderaan, dan mengunci kereta pada bila-bila masa walaupun ditinggalkan untuk seketika. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram