Lepas lagu Ukays, peminat desak Farizal-Akhyar duet lagu K-Pop pula sebelum jumpa Turkmenistan


  • Podium
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Tangkap layar Farizal (kiri) dan Akhyar menyanyikan lagu I Love You, I Miss You hingga video itu pernah trending suatu ketika dahulu. — Facebook

VIDEO dua tonggak skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias dan Akhyar Rashid menyanyikan lagu ‘I Love You, I Miss You’ dendangan kumpulan Ukays yang popular satu ketika dahulu, kembali tular di media sosial.

Rakaman itu dikongsikan semula Facebook kelab penyokong JDTFC pada Jumaat dan mendapat lebih 43,000 tontonan setakat ini.

Melihat kepada gelagat Farizal dan Akhyar itu, ada peminat bola sepak yang mendesak supaya duo itu menyanyikan lagu K-Pop selepas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menerapkan unsur hiburan dengan memainkan muzik bergenre K-Pop semasa sesi pemanas badan menjelang kelayakan Piala Asia 2023.

"Huh...belum mantap lagi nyanyi lagu tu! Nyanyi lagu K-Pop baru real!! Coach lagi seronok anak buah pandai nyanyi K-Pop!!," kata seorang peminat, Garu Yola.

"Bukan Pan-gon ajar lagu K-Pop ke?," ujar Mohsien Benabdulkhamal di ruangan komen video tersebut.

Rakaman tular Farizal dan Akhyar menyanyikan lagu ‘I Love You, I Miss You’ semasa perlawanan Piala Suzuki AFF pada 2018. — Facebook

Video Farizal dan Akhyar menyanyikan lagu ‘I Love You, I Miss You’ pernah trending hingga membantu kumpulan Ukays mempopularkan single mereka itu di YouTube.

Akhyar yang juga pemain sayap sensasi dan Farizal (penjaga gol) skuad Harimau Malaya dilaporkan menyanyikan lagu itu ketika menyertai skuad kebangsaan semasa perlawanan Piala Suzuki AFF yang berlangsung pada Disember 2018.

Kedua-dua tonggak Johor Darul Takzim (JDT) itu turut memuat naik rakaman mereka ke laman sosial menyebabkan lagu itu tular dan jumlah pendengar meningkat.

Sebelum ini, Farizal berkata, Pan-gon akan memasang lagu Blackpink dgn PSY semasa sesi pemanas badan sebelum menjalani latihan di padang, menjelang Kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

"Itu perkara menyeronokkan, barulah pemain tidak berasa tegang datang berlatih apabila mendengar muzik... sangat-sangat bagus," katanya.

Malaysia akan memulakan cabaran kempen Kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam saingan Kumpulan E.

Skuad kebangsaan turut melakar kemenangan ke atas Brunei (4-0) dan Hong Kong (2-0) dalam dua aksi persahabatan terakhir sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram