Pemain letih jumpa Korea, Maloney dah jangka tentangan sengit Thailand


  • Podium
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Antara aksi yang dipamerkan skuad Harimau Muda ketika menentang Korea Selatan. — Facebook FAM

BIARPUN dikecewakan juara bertahan, Korea Selatan 1-4 pada aksi pembukaan Khamis lalu, namun skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dilihat tetap bersemangat dan bersedia berdepan Thailand pada aksi kedua Kumpulan C Piala Asia B-23 di Stadium Milliy, Uzbekistan pada Ahad.

Bagaimanapun, Maloney tetap menjangkakan tentangan sengit daripada Thailand yang dilihat turut terdesak untuk meraih kemenangan setelah hanya terikat 1-1 dengan Vietnam dalam satu lagi aksi Kumpulan C, Khamis lalu.

"Kita telah beberapa kali berdepan dengan Thailand sebelum ini termasuk di Sukan Sea Vietnam baru-baru ini.

"Thailand merupakan pasukan yang bagus dan mereka melakukan penambahbaikan dengan membawa masuk beberapa pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan pada aksi kelayakan kali ini.

"Sekali lagi kita menjangkakan tentangan sengit daripada pihak lawan (Thailand) pada Ahad, untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan kali ini," katanya pada Sabtu.

284652914_711689253237647_1315645729054767612_n

Sebahagian daripada pemain Harimau Muda giat menjalani latihan sebelum bertemu Thailand pada Ahad. — Facebook FAM

Untuk rekod, skuad B-23 negara kini berada pada kedudukan tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata hasil kekalahan 1-4 kepada Korea Selatan, Khamis lalu.

Justeru, skuad Harimau Muda itu dilihat tidak mempunyai pilihan selain perlu menang ke atas Thailand bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.

Mengulas lanjut, Maloney menegaskan bahawa tidak ada perlawanan yang boleh dianggap mudah pada saingan Piala Asia B-23 kali ini.

Justeru katanya, kesemua pemain perlu memberikan aksi terbaik masing-masing dalam usaha menghasilkan kejayaan.

"Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, tidak ada perlawanan yang boleh dianggap mudah kali ini dan kita sentiasa menjangkakan tentangan sengit setiap kali beraksi.

"Sebagai contoh; walaupun kita telah beberapa kali berdepan Thailand tetapi kali ini mereka datang dengan membawa beberapa pemain baharu.

"Apa pun, saya percaya kesemua pemain telah bersedia untuk berdepan dengan cabaran berkenaan," katanya.

Sementara itu, Maloney berkata, selain menjalani proses pemulihan menjelang aksi berdepan Thailand, kesebelasan skuad Harimau Muda itu akan turut mengharungi beberapa sesi (latihan), menjelang aksi berkenaan.

Katanya, kesemua sesi latihan berkenaan diadakan dalam usaha memastikan kesemua pemain kembali cergas bagi mengharungi aksi getir berdepan Thailand.

"Seperti yang kita jangkakan, aksi berdepan Korea Selatan ternyata sungguh mencabar dan membuatkan kesebelasan pemain keletihan.

"Oleh itu, selain proses pemulihan, kita juga akan mengadakan beberapa sesi (latihan) dalam usaha memastikan mereka (pemain) bersedia untuk berdepan Thailand," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram