SELEPAS dihambat dengan kecaman mengenai pembinaan stesen bas ekspres di Kota Bharu, Kelantan yang tidak sejajar dengan arus permodenan semasa, kerajaan negeri itu sekali lagi dihujani dengan kritikan berkaitan isu air.
Sebelum ini, kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS itu dikecam oleh orang ramai kerana dilihat seolah-olah tiada usaha untuk membangunkan stesen bas tersebut.
Malah, segelintir rakyat juga membandingkan stesen bas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, yang dilihat jauh lebih maju dan membangun.
Stesen bas Kota Bharu mendapat kecaman orang ramai sebelum ini. — Bus Online Ticket
Baru-baru ini, sebuah tangki kotor yang dipercayai terletak di negeri itu mengundang rasa jijik orang ramai, apabila air di dalamnya tidak jernih dan berwarna coklat.
Menerusi sebuah gambar tular, ada yang menyangka air tangki itu seperti kuah kacang dan gulai daging ketika mula-mula mereka melihat gambar tersebut.
Selain, ada juga yang menyangka bahawa pelampung berwarna perak di tangki itu merupakan senduk kuah kacang.
Tampil mengulas perkara itu, rakyat Kelantan, Asraff Jeffery menyarankan bahawa mesin boring air merupakan penyelesaian untuk isu air di Kelantan, namun kosnya agak tinggi bagi sesetengah orang.
Katanya, boring air yang diibaratkan seperti telaga mempunyai lubang lebih kecil, dengan kedalaman 100 kaki serta menelan belanja kira-kira RM1,500.
"Untuk orang yang berduit macam saya, Insya-ALLAH boleh bayar lagi tapi bayangkan kalau pendapatan keluarga hanya RM2,500 sebulan?" soalnya menerusi hantaran di laman Facebook.
Contoh mesin boring air bagi mendapatkan air bersih. — Blog AmirHairi
Jelasnya, masalah itu masih belum selesai kerana tidak semua air boring disifatkan bersih.
Sebagai contoh, katanya, air boring di rumahnya tidaklah sekotor seperti gambar yang ditularkan, namun dia masih boleh membela ikan keli selain bahagian bawah boring pula berlumpur.
"Jadi,apa yang perlu saya buat? Guna dua filter,dua tangki air dan tiga enjin. Enjin pertama dari tanah ke tangki yang pertama. Dari tangki pertama,guna enjin, tolak ke filter pertama dan masuk ke dalam tangki kedua.
"Dari tangki kedua pula, guna enjin, tolak ke filter kedua dan air bersih masuk ke rumah. Keseluruhan saya habis sekitar RM8,000 dan sepanjang saya duduk di rumah ini, empat kali saya sudah tukar enjin baharu.
"Bayangkan kalau orang yang tidak berkemampuan? Bagaimana nak mandi, bagaimana nak kencing, bagaimana nak berak?" soalnya.
Pada masa sama, Asraff Jeffery kesal apabila masalah air kotor itu mengakibatkan rakyat sukar untuk mengambil wuduk, meskipun kerajaan Islam di negeri itu sering melaung dan terpekik memuji nama ALLAH SWT.
"Pemimpin pakai Vellfire plat ***, ikut sunnah Nabi berkuda mahal untuk keselamatan.
"Tetapi dalam bab hal ehwal rakyat? Tolak tepi. Tin M**** infaq harta untuk perjuangan jangan dilupakan," sindirnya.
Jelasnya, terdapat beberapa masalah air di kebanyakan tempat, namun sehingga kini ia tidak diselesaikan.
Ini termasuk masalah air di premisnya dekat Berek 12, Kota Bharu yang didakwa tidak dapat diselesaikan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
"Masalah air di Hospital Raja Perempuan Zainab juga tidak selesai.
"Benar, U*** yang buat masalah pada satu ketika dahulu tetapi tiada orang paksa anda untuk jadi pemimpin sekarang. Kalau anda tidak mampu selesaikan, bagi kepada yang mampu.
"Nak jadi pemimpin,satu kaki di syurga dan satu kaki di neraka. Ianya satu tugas yang besar. Muhasabah diri sendiri," dakwanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram