Budak OKU meraung kena marah sebab botol air


  • Tular
  • Rabu, 01 Jun 2022

Tangkap layar video yang memaparkan kanak-kanak OKU itu sedang ditenangkan oleh guru sekolah selepas dimarahi bapa kepada murid lain.

HENDAK marah kanak-kanak normal pun kadang-kadang kita tidak sampai hati, apatah lagi melibatkan kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU).

Itu yang berlaku dalam satu video tular di TikTok yang memaparkan seorang murid OKU sedang meraung kerana dimarahi oleh bapa pelajar kelas lain.

Di dalam video yang dimuat naik itu, murid berkenaan sedang ditenangkan oleh seorang gurunya.

Pemilik video berkenaan, Azura Abdullah yang juga ibu kepada murid istimewa itu memberitahu, telah berlaku salah faham sehinggakan bapa budak kelas lain memarahi dirinya.

"Kesnya bapa budak kelas lain datang serang dan marah-marah anak saya di sekolah. Dia tuduh anak saya cekik anaknya sebab berebut botol air.

"Anak saya kata dia tak buat, tapi dia masih marah. Saya pun ditengkingnya sambil naik tangan macam nak tampar saya. Hal budak sahaja pun.

"Tapi isterinya dah mesej minta maaf. Tak mengapalah, saya maafkan. Mungkin salah anak saya juga. Tapi terkilan dengan tindakan melurunya.

"Perkara ini peringatan untuk diri saya juga. Segala hal boleh bincang elok-elok. Jaga emosi dan adab terutamanya di sekolah dan depan anak-anak," katanya.

Meninjau di ruangan komen, ramai netizen bersimpati atas apa yang berlaku terhadap anak istimewa itu dan berharap agar mereka terus kuat lalui dugaan yang dihadapi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram