'Greenwood pun MU buang, inikan pula kes rogol'


  • Podium
  • Khamis, 02 Jun 2022

Pada Januari lalu, penyerang Manchester United, Greenwood digantung Manchester United susulan tuduhan dia didakwa merogol dan melakukan keganasan domestik terhadap bekas teman wanitanya, Harriet Robson. — Agensi

ARENA bola sepak tanah air pada Selasa dikejutkan dengan penahanan seorang pemain bola sepak selepas disyaki merogol seorang gadis yang juga merupakan rakannya di sebuah rumah di Kota Bharu, Kelantan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun mengesahkan pihaknya menahan pemain berusia 28 tahun itu pada pukul 10 malam, 29 Mei lepas selepas sahaja mangsa berusia 18 tahun membuat laporan.

Menurut Muhammad Zaki, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan bola sepak sama ada dalam ataupun luar negara, kes sebegini sememangnya pernah berlaku dan antara bintang dunia terpalit isu sedemikian termasuklah pemain muda Manchester United, Mason Greenwood.

Bukan hanya Manchester United, malah jenama terkenal, Nike turut menggantung kerjasama dengan pemain itu sejurus sahaja dakwaan itu dilaporkan kepada umum.

Justeru, meskipun belum didapati bersalah, majoriti penyokong bola sepak tanah air berpendapat hukuman perlu diberikan sekeras-kerasnya kepada pemain tempatan terbabit, sama seperti apa yang dialami oleh Greenwood sewaktu disyaki merogol dan menyerang bekas teman wanitanya pada awal 2022.

"Bila video Mason Greenwood membelasah teman wanitanya terdedah, dia disingkirkan terus oleh Manchester United. Walaupun ayah teman wanitanya mempertahankan Greenwood.

"Jika Greenwood diputuskan bersalah dan dipenjarakan dalam tempoh tertentu, sebagai contoh tiga bulan, kelab boleh menamatkan kontraknya tanpa apa-apa bayaran.

"Tidak kira Greenwood itu bakat berkelas dunia sekalipun, dia tiada tempat lagi dalam industri bola sepak kerana telah mencemarkan nama kelab dan imej bola sepak itu sendiri. Inikan pula kes rogol," kata pengguna Facebook, Zuraimi Zukri.

Zuraimi berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima pemain Kelantan FC dan Kelantan United yang berusia 28 tahun, jadi beliau benar-benar berharap suspek bukannya pemain bola sepak yang beraksi di kedua-dua kelab itu.

shamil

Nurshamil tampil menyifatkan perkara tersebut sebagai fitnah akhir zaman.

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa pihak yang semberono memetik beberapa nama pemain seperti penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani sebagai suspek yang bertanggungjawab ke atas kes tersebut.

Namun, spekulasi itu segera disangkal oleh Nurshamil pada Rabu apabila menegaskan perkara itu adalah fitnah akhir zaman, tambahan pula ketika ini dia berada di Sungai Buloh, Selangor untuk menghabiskan masa cuti selama seminggu bersama isteri dan anak-anaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram