PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad kini sudah dilihat tidak relevan lagi, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, ini dapat dilihat menerusi kempen bekas Perdana Menteri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini di Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, Johor.
"Tempat atuk (Dr Mahathir) kempen di Ayer Hitam pun hilang deposit. Maknanya dia sudah tidak relevan lagi.
"Tapi saya suka dia ratib nama saya sebab rakyat sudah bosan. Rakyat dah meluat. Rakyat nak tahu apa yang kita akan buat untuk rakyat.
"Sebab itulah, apapun yang dia (Dr Mahathir) serang secara peribadi akhirnya soal penentu ialah pilihan raya, apa yang kita boleh buat untuk rakyat. Dan dalam hal ini, tidak ada parti yang boleh lawan dan menggantikan BN," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di ibu negara pada Rabu.
Dalam pada itu, Najib semasa ucapannya turut menyatakan bahawa BN perlu memberitahu rakyat untuk menghukum Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malahan, Najib akui terkedu dengan tindakan PH semasa pentadbiran gabungan itu yang menjual aset negara.
"Dia (PH) jual aset. Kita kalau nak kaya, kita kena tambah aset. Bila tambah aset, bertambah kekayaan negara. Bila jual aset, generasi akan datang nak makan apa?
"Ini sudah elok (kita) selaku penyedia penjagaan kesihatan kedua terbesar di dunia (iaitu) IHH Healthcare Bhd, tiba-tiba jual kepada Mitsui & Co. Hilang kawalan," jelasnya.
Selain itu, katanya, PN perlu dihukum dalam PRU15 disebabkan tindakan mereka yang menggantung Parlimen semasa mentadbir negara.
"Padahal dia kecut perut. Nak berdebat di Parlimen tak ada majoriti, itu sebenarnya," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram