Buruh mengaku tak bersalah ugut 'kerjakan' bapa guna cangkul di Kuala Terengganu


Tetuduh didakwa mengugut memukul bapanya menggunakan cangkul akibat perselisihan faham. — Sinar Harian

SEORANG buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, Terengganu pada Rabu atas dakwaan mengugut untuk memukul bapanya menggunakan cangkul.

Tertuduh, Mohd Nazrul Abd Rahman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut memukul bapanya, Abdul Rahman Ibrahim, 66, menggunakan cangkul akibat perselisihan faham.

Kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Beladau Selat di Kuala Terengganu pada 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pukul bapa, ugut, cangkul, buruh, Kuala Terengganu