Guru memandu hilang, dikhuatiri salah masuk laluan ke Singapura


  • 112
  • Isnin, 30 Mei 2022

Kwan Yin kali terakhir dilihat pada pagi Sabtu.

AHLI keluarga seorang tenaga pengajar kelas memandu merayu orang ramai membantu mereka mencari warga emas itu yang hilang sejak tiga hari lalu.

Menurut keluarganya, Chan Kwan Yin, 71, kali terakhir dilihat pada kira-kira pukul 7.30 pagi Sabtu, ketika dia meninggalkan rumah dekat Skudai, Johor Bahru untuk bekerja.

"Biasanya dia akan pulang pada pukul 3 petang. Namun, pada hari itu, dia masih tidak pulang sehingga pukul 5 petang.

"Kami cuba menghubunginya dan selepas beberapa percubaan gagal, akhirnya kami berjaya berbuat demikian.

"Dia memberitahu telah tersalah belok dan secara tidak sengaja memasuki Laluan Kedua, menghala ke Tuas, Singapura.

"Dia kemudian menyerahkan telefon kepada pegawai Imigresen yang mendakwa bahawa bapa saya secara tidak sengaja masuk ke pusat pemeriksaan Imigresen, manakala pegawai di sana akan membantunya pulang ke Johor," kata anak perempuan lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chan.

Chan berkata, keluarganya masih boleh berhubung dengan warga emas itu menerusi panggilan telefon beberapa jam selepas itu.

"Dia memberitahu kami bahawa dia telah hilang arah.

"Dia juga cuba menjelaskan lokasinya, tetapi kami tidak dapat mengenal pasti kawasan itu. Dia berkata, dia berada di kawasan terpencil dan jalan berbatu," katanya.

Keluarga itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Mutiara Rini, di Skudai pada tengah malam hari yang sama.

Katanya, mereka juga menyiarkan gambar warga emas itu di media sosial supaya orang ramai dapat membantu untuk mengesannya.

"Kami tidak dapat menghubungi telefonnya pada keesokan harinya. Sejak itu, kami mencarinya d merata tempat tetapi tidak berjaya," katanya.

Tambahnya, seorang individu yang terjumpa hantarannya di laman Facebook memaklumkan bahawa, bapanya ditemui di Bandar Baru Uda pada malam Sabtu.

"Kami merayu kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan untuk membantu mengesan bapa saya.

"Kami sangat bimbang keadaannya, lebih-lebih lagi dia menghidap darah tinggi dan kencing manis serta telah keluar selama berhari-hari tanpa ubat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan bahawa polis telah menerima laporan mengenai kes itu dan telah menghubungi beberapa hospital untuk mencari warga emas berkenaan.

"Kami akan meneruskan pencarian dan unit kenderaan peronda bergerak (MPV) kami juga sedang berwaspada," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram