Suk-won tinggalkan Kedah, Sanusi pula dipersalahkan


  • Podium
  • Ahad, 29 Mei 2022

Penamatan awal kontrak Suk-won didakwa ada kaitan dengan masalah pengurusan kewangan.

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia memperlihatkan pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Jang Suk-won menjadi antara pemain import pertama yang dilaporkan meninggalkan kelab itu.

Meskipun dilaporkan kontraknya ditamatkan awal berikutan kecederaan yang dialami, terdapat pandangan yang berbeza dikongsi akaun Facebook, Gerakan Setia Johor yang mendedahkan hal itu berlaku kerana kepincangan pentadbiran Presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya dalam hantaran di Facebook, pemergian pemain asal Korea Selatan itu menunjukkan bahawa pasukan Sang Kenari benar-benar menghadapi masalah pengurusan kewangan.

"Pasukan Kedah di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi merosot kerana mereka tidak mampu untuk membawa nama-nama besar ke Stadium Darulaman.

"Dari segi kewangan, pasukan Kedah juga gagal membawa penaja yang lebih besar," dakwanya.

WhatsApp Image 2022-05-29 at 10.27.39 AM

Dakwaan yang disuarakan oleh Gerakan Setia Johor.

Dakwanya lagi, gaji pemain pula sering tertunggak, malah bonus kemenangan juga tiada bayang sama sekali dan menjadi penyebab pemain hilang semangat dan hilang punca kerana pengurusan yang tidak professional daripada Muhammad Sanusi.

Sementara itu, laman Facebook itu turut membahas kenyataan Muhammad Sansusi berhubung 'gaji kayangan' seperti dilaporkan sebelum ini.

Katanya, isu tersebut tidak timbul di negara-negara luar seperti didakwa Menteri Besar Kedah itu.

"Pemain professional wajar minta gaji yang setimpal dengan keputusan yang diberi, jika pemilik kelab berpuas hati, itu bukan salah sesiapa.

"Tetapi Muhammad Sanusi adalah seorang yang ego dan tak sedar kelemahan sendiri, beliau lebih gemar tudingkan jari dan tuduh kesalahan itu kepada orang lain, dan tidak mahu cermin diri sendiri," ujarnya.

Jelasnya lagi, Muhammad Sanusi juga pernah mendakwa bahawa terdapat pihak tertentu yang membayar upah kepada mana-mana pasukan yang menewaskan Kedah.

Bagaimanapun, beliau gagal mengemukakan bukti buat dakwaan tersebut, sebaliknya membangkitkan isu pendrive yang sudah selesai sejak tahun 2016.

"Masalah utama bola sepak Kedah ialah pengurusannya yang diuruskan oleh orang politik.

"Apabila orang politik yang langsung tidak ada kepakaran dalam pengurusan bola sepak, ditambah pula dengan kepentingan politik mengatasi sukan itu sendiri, maka sebab itu prestasi Kedah merosot," dakwanya.

Hurainya lagi, bola sepak Kedah sepatutnya diuruskan oleh orang yang berkaliber dan faham selok belok sukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram