Selain periksa jantung, doktor ini terangkan 5 lagi fungsi stetoskop


  • Sihat
  • Jumaat, 27 Mei 2022

Leloceng stetoskop diletak di dada untuk mendengar bunyi pernafasan. — Gambar hiasan

SELAIN kot putih, perkara yang menjadi simbolik buat seorang doktor sudah tentu stetoskop.

Lihat sahaja golongan profesional itu, alat perubatan tersebut mesti akan disangkut di leher ke mana-mana sahaja.

Secara umumnya, stetoskop digunakan untuk pemeriksaan jantung. Ia mempunyai beberapa bahagian; paling utama adalah yang dimasukkan ke dalam telinga (eartips) dan bahagian bulat yang diletakkan di atas dada (bell dan diaphgragm).

Ketika membuat pemeriksaan jantung, stetoskop membantu doktor mendengar bunyi jantung serta mengesan jika terdapat kelainan pada bunyi tersebut seperti jantung terlalu laju, penambahan bunyi jantung, terlalu kuat atau perlahan, serta bunyi murmur (tiupan atau desingan).

Jika doktor mengesyaki jantung anda kurang sihat dari pemeriksaan menggunakan stetoskop, ujian tertentu mungkin perlu dilakukan untuk mengesahkan keadaan tersebut.

Namun, tahukah anda, stetoskop mempunyai fungsi lain? Pakar kesihatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi laman Facebook memberi penerangan mengenai fungsi lain alat perubatan berkenaan:

1. Mendengar bunyi pernafasan

Leloceng stetoskop diletak di dada untuk mendengar bunyi pernafasan. Pernafasan bermasalah mungkin menghasilkan bunyi berdecit, berbuih, berkeriuk, tiada bunyi langsung dan sebagainya. Setiap bunyi ini memberi gambaran masalah yang berlaku.

2. Mendengar bunyi usus

Leloceng stetoskop diletak di abdomen untuk mendengar bunyi pergerakan peristalsis usus. Bunyi peristalsis usus yang kurang aktif(sluggish) atau terlebih aktif (hiperaktif) menandakan ada masalah dengan usus.

3. Menentukan tekanan darah

Jika doktor periksa tekanan darah mengggunakan spigomanometer, doktor perlukan stetoskop untuk dengar bunyi salur darah di lengan. Bila ia mula berbunyi, doktor baca paras tekanan sistolik. Bila ia mula hilang, doktor baca paras diastolik.

4. Mendengar aliran darah

Aliran darah yang laminar(sekata) tidak berbunyi, manakala aliran yang tidak sekata pula menghasilkan bunyi. Salur darah yang sempit, menghasilkan aliran yang tak sekata, jadi bunyinya boleh didengar menggunakan stetoskop.

5. Alat bantuan mendengar

Ini bukan fungsi rasmi stetoskop, tetapi kadang-kadang apabila ada pesakit yang kurang pendengaran, doktor akan memakaikan pesakit dengan stetoskop di telinga, kemudian doktor akan bercakap pada leloceng stetoskop.

Banyak fungsi stetoskop ini kan? Sebab itulah doktor bawa ia ke mana-mana. Ia memang penting dalam menjalankan tugas mereka mengenal pasti masalah yang dialami pesakit.

Sebenarnya, stetoskop bukan sahaja digunakan oleh para doktor. Banyak pekerjaan lain juga menggunakan stetoskop dalam tugas seharian, antaranya:

◾ Jururawat

◾ Pembantu perubatan

◾ Jurupulih fisioterapi

◾ Jurupulih carakerja

◾ Jurupulih pertuturan

◾ Veterinar — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram