'Kalau main di SSI, mungkin Harimau Malaya tak hilang rentak'


  • Podium
  • Sabtu, 28 Mei 2022

Corak permainan skuad Harimau Malaya mungkin berbeza jika perlawanan menentang Brunei diadakan di SSI. — Bernama

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilaporkan kurang berpuas hati dengan skuad kebangsaan ketika bertemu Brunei biarpun pasukan itu membelasah lawan 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukil Jalil (SNBJ) pada Jumaat.

Jurulatih dari Korea Selatan itu dilaporkan berkata, dia menyedari ada kalanya pasukan kehilangan rentak dan sepatutnya mempamerkan aksi permainan lebih baik.

"Mesti ada rentak sepanjang perlawanan, seperti yang anda lihat dalam bola sepak peringkat tinggi mereka tidak terlalu menghentikan rentak, saya tidak boleh katakan saya tidak gembira tetapi saya cuba memahami pemain kita (kehilangan rentak),” katanya.

Tidak mustahil, terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada kehilangan rentak yang dikatakan Pan-gon itu dan perkara tersebut perlu diteliti bagi memperbaiki mutu permainan pasukan.

Seorang penyokong, Mohd Safri Safri Diwi membayangkan satu sebab yang dirasakannya mungkin menjadi antara penyebab game play skuad Harimau Malaya ketika menentang Brunei pada Jumaat, kurang memuaskan.

Menurut Mohd Safri, kualiti padang SNBJ yang belum dinaik taraf dengan penggantian rumput baharu berkemungkinan menyumbang kepada kehilangan rentak pemain.

"Mungkin kualiti padang menyebabkan game play kurang memuaskan (seperti) apa yang dijangkakan," katanya di ruangan komen Facebook Semuanya BOLA Group.

"Padang masalah bro...tu pun jadi punca," kata seorang lagi penyokong, M Firdaus Mokhtar yang menyokong pendapat Mohd Safri.

WhatsApp Image 2022-05-28 at 1.52.03 PM

Tangkap layar pendapat penyokong berhubung kualiti padang yang mungkin menjejaskan permainan skuad kebangsaan. — Facebook

Tambah Mohd Safri, mungkin game play akan berbeza dan lebih menarik jika perlawanan menentang Brunei itu diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor yang bertaraf dunia.

Media sebelum ini melaporkan, kerja-kerja pertukaran permukaan padang SNBJ yang dianggarkan menelan belanja antara RM1.2 hingga RM1.4 juta hanya akan bermula seawal Januari 2023.

Kelewatan kerja-kerja menggantikan rumput disebabkan komitmen yang telah dipersetujui pihak stadium untuk menganjurkan beberapa acara di venue rasmi skuad Harimau Malaya itu sepanjang 2022.

Kos penggantian rumput baharu jenis ‘Zeon Zoysia’ itu ditaja oleh pemilik skuad Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Idris sebagai hadiah kepada SNBJ.

Sementara itu, Mohd Safri juga bersetuju dengan pendapat Pan-gon yang merasakan Malaysia akan bermain lebih baik jika mereka bertemu pasukan lebih kuat.

"Satu lagi bermain dengan pasukan Brunei bukan satu pasukan yang dapat beri tentangan sengit seperti Thailand, Vietnam dan seangkatannya. Perlu cari pasukan yang boleh bagi cabaran," katanya.

Harimau Malaya akan meneruskan aksi persahabatan menentang Hong Kong 1 Jun ini sebelum berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di SNBJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram