KENDERAAN rakyat Malaysia yang tersadai di Thailand akibat sekatan antarabangsa kerana pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, boleh dibawa pulang ke negara ini tanpa sebarang caj bermula 1 Jun sehingga 30 Jun ini.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama 13 agensi yang terlibat pada Isnin sejajar dengan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 1 Jun ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, rakyat Malaysia diberi tempoh selama sebulan bermula 1 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2022 untuk membawa pulang kenderaan mereka dari Thailand menerusi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang, Kelantan.
"Bermula 1 Jun sehingga 30 Jun ini, kerajaan Thailand bagi tawaran dan ruang supaya kenderaan-kenderaan Malaysia yang ada di Thailand dibawa balik ke negara ini tanpa sebarang caj.
"Peluang ini diberi hanya satu bulan, jadi rakyat Malaysia yang mungkin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu tidak dapat membawa kenderaan ataupun tersadai di sana supaya ambil tindakan untuk mengambil kenderaan mereka balik ke Malaysia," katanya.
Siti Zailah berkata, pihaknya menerima banyak rungutan umum berkaitan kenderaan rakyat Malaysia yang tersadai di Thailand akibat pandemik Covid-19 selain terbeban dengan kadar caj bergantung selama mana tempoh kereta ditinggalkan.
"Biasa caj tinggal kenderaan di Thailand capai RM100 atau lebih, jadi segera bertindak dalam tempoh sebulan kerana selepas itu, caj akan berkuat kuasa semula.
"Di ICQS Rantau Panjang ini biasanya lebih empat ratus kenderaan yang menggunakan laluan itu untuk keluar masuk ke dua-dua negara dan kami juga dalam perancangan untuk melancarkan isu-isu berkaitan sempadan selepas sekian lama ditutup akibat Covid-19," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram