HARI demi hari, ada saja warganet mengikuti trend di aplikasi Tiktok sedangkan ia bercanggah di sisi agama Islam.
Jika awal tahun ini, kecoh trend ‘unboxing by husband’ yang dilakukan oleh pasangan baharu berkahwin telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat.
Kini, trend terbaharu pula menjadi ikutan para orang Islam iaitu menunaikan solat dengan menjadikan kipas angin sebagai makmum dan video berkenaan rata-ratanya dimuat naik oleh individu berstatus bujang.
Tinjauan Majoriti mendapati, individu berkenaan akan berlakon seperti sedang menunaikan sembahyang dan mereka menjelaskan trend itu dibuat kerana ingin merasai bagaimana solat bersama pasangan seperti suami isteri.
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, individu yang berlakon solat adalah haram kerana mereka seakan mempermainkan Islam yang mana berdosa besar seseorang itu jika mempersendakan agama.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Celakalah orang yang berbicara kemudian dia berdusta agar suatu kaum tertawa kerananya. Kecelakaan untuknya,” — (HR. Abu Dawud no. 4990)
"Berlakon solat adalah haram. Jika tunjuk cara sujud dengan budak-budak dibolehkan. Benda itu beza. Berlakon lain, dia berpura-pura sembahyang. Dia tidak tahiyat. Haram kerana bermain-main.
"Ada juga yang ambil gambar ketika sembahyang, menurut ulama perkara itu dibolehkan. Kalau ajar orang dibolehkan seperti seorang suami menegur isterinya ketika solat, perkara itu dibolehkan atas tujuan pembelajaran," kata Azhar menerusi sebuah klip video ceramah TikToknya.
Larangan menjadikan agama sebagai bahan gurauan, ALLAH berfirman: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama ALLAH dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"
Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah. — [At Taubah: 65-66] — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram