Ini punca mengapa pesakit diabetes cepat letih


  • Sihat
  • Selasa, 24 Mei 2022

Pesakit diabetis disaran untuk menjaga waktu tidur dengan cukup sekurang-kurangnya 6 hingga 8 jam sehari serta mengawal stres dengan baik. — Gambar hiasan/Agensi

PANKREAS merupakan organ dalam tubuh yang berfungsi untuk mengeluarkan bahan kimia sejenis hormon yang dikenali sebagai insulin.

Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), insulin pula berfungsi membolehkan tisu-tisu menggunakan glukos dan membantu mengawal paras glukos dalam darah ke paras normal.

"Jika insulin tidak mencukupi atau tidak berkesan paras glukos akan meningkat dalam darah.

"Keadaan ini dinamakan Diabetes Mellitus atau kencing manis," katanya.

Tambah KKM, diabetes terbahagi kepada dua iaitu; Diabetes Mellitus yang bergantung kepada Insulin (IDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis I manakala Diabetes Mellitus yang tidak bergantung kepada Insulin (NIDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis II.

Sementara itu, pakar kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, pesakit diabetes Mellitus akan mengalami komplikasi penyakit tersebut jika tahap gula tidak dikawal dengan baik dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Berikut merupakan komplikasi yang biasa dialami adalah diabetes fatigue (DF) syndrome.

Ia berlaku akibat:

1. Apabila insulin tidak dapat berfungsi dengan baik, gula dalam darah tidak mampu masuk ke dalam sel tubuh, lantas mengakibatkan tubuh tidak dapat menjana tenaga. Akibatnya, tubuh menjadi mudah letih, lelah dan penat.

2. Tahap gula dalam darah boleh menjadi terlalu rendah (hypoglisemia) apabila mengambil dos ubat diabetes yang terlalu tinggi atau penyuntikan insulin sebelum makan yang terlalu cepat.

woman-holding-cigarette-and-drinking-coffee

Tabiat menghisap rokok dan mengambil kafein berlebihan boleh menyebabkan tubuh rasa keletihan. — Gambar hiasan

3. Masalah pseudo hypoglycemia apabila tubuh berasa seolah-olah mengalami hypoglycemia, padahal tahap gula adalah normal atau tinggi sedikit.

Ini kerana tubuh biasa dalam tahap gula yang tinggi. Tahap gula yang normal menyebabkan tubuh berasa seolah-olah tiada gula dalam tubuh.

4. Gaya hidup yang tidak sihat termasuk waktu tidur yang tidak cukup dan tidak mengawal stress dengan baik.

Selain daripada itu, tabiat menghisap rokok, mengambil alkohol dan kafein berlebihan boleh menyebabkan tubuh berasa keletihan.

Langkah untuk mengelakkan masalah DF adalah:

1. Periksa kadar glukosa dalam darah setiap hari terutama sebelum atau selepas melakukan aktiviti agar ia kekal stabil.

2. Minum air kosong secukupnya.

3. Kawal waktu tidur dengan cukup sekurang-kurangnya 6 hingga 8 jam sehari.

4. Kawal stres dengan baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

diabetis, letih, stress, KKM, Dr Zubaidi Ahmad