Pahang, Terengganu rekod kes buli tertinggi tahun ini


  • 112
  • Selasa, 24 Mei 2022

Polis akan terus meningkatkan hubungan dengan pihak sekolah untuk mengekang aktiviti buli. — Agensi

SEBANYAK 38 kes buli berlaku di sekolah-sekolah di negara ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bermula Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah itu, lapan kes dilaporkan di Pahang, manakala tujuh kes di Terengganu.

Menurut beliau, bagi Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan pula masing-masing merekodkan empat kes.

"Selebihnya adalah Selangor (tiga), Johor (dua), Kedah (dua), Kuala Lumpur (dua) dan Perlis sebanyak dua kes," katanya.

Abd Jalil menasihatkan ibu bapa untuk mengambil berat akan kes buli selain pemantauan oleh pihak sekolah dalam menentukan disiplin pelajar agar sentiasa terpelihara.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan lagi penglibatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk memastikan tiada elemen kongsi gelap yang cuba masuk ke sekolah dalam merekrut ahli baharu dalam kalangan pelajar.

"Akhir sekali, PDRM mengalukan apa jua maklumat yang boleh dikongsi bersama bagi menjadikan sekolah tempat selamat bagi pelajar menuntut ilmu," ujarnya.

Pada 18 Mei lalu, media melaporkan kehadiran PPS daripada kalangan pegawai dan anggota PDRM di 10,218 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan untuk mencegah kes jenayah termasuk kes buli melibatkan pelajar. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram