Bahasa tubuh Jordan Mintah ceritakan segalanya, betul ke merajuk?


  • Sukan
  • Selasa, 24 Mei 2022

Jordan Mintah (kanan) meraikan jaringan gol yang dihasilkannya bersama rakan sepasukan. — Facebook

WALAUPUN menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Perdana pada musim lalu dengan meledak 16 gol, penyerang import Terengganu FC II (TFCII) Jordan Mintah nampaknya masih terkial-kial bersama pasukannya kini.

Malah, prestasi Mintah pada musim ini dilihat sangat jauh berbeza daripada seorang yang sangat tajam di hadapan gol kepada penyerang yang bergelut untuk menembusi gawang.

Ketua Jurulatih TFCII, Badrul Afzan juga sebelum ini menyedari perkara itu dan telah memanggil Mintah untuk memberi penjelasan mengenai kemerosotan prestasinya.

Ada yang menyatakan kemungkinan prestasi merudum Mintah disebabkan hajatnya untuk beraksi bersama skuad utama Penyu tidak kesampaian hingga membuatkan dia merajuk.

Pemain berasal dari Ghana itu juga pernah memaklumkan yang terdapat beberapa pasukan utama dalam Liga Super cuba mendapatkan khidmatnya.

Baru-baru ini dikhabarkan yang Mintah bakal keluar daripada TFCII untuk beraksi bersama dengan pasukan Sri Pahang FC.

WhatsApp Image 2022-05-24 at 10.16.17 AM

Aksi Jordan Mintah pada musim ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong skuad Penyu.

Namun, penyokong nampaknya seakan rela dengan pemergian Mintah apatah lagi pemain itu dilihat seperti tidak mempunyai semangat untuk beraksi bersama skuad Penyu.

Seorang penyokong TFC, Assalam Nuriq berkata, berkemungkinan aksi longlai Mintah disebabkan dia hanya beraksi di liga Premier dan seakan tidak gembira dengan perkara itu.

"Sekarang dia main dengan feeder club, tiada hala tuju. Piala FA dan Piala Malaysia pun dia tak main. Hanya fokus liga tempatan sahaja. Siapa yang tak bosan. Tengok pada body language memang dia nampak tak gembira. Boleh dah pinjamkan dia ke pasukan lain," katanya.

Azman Ismail pula berkata, Mintah sudah tidak kreatif seperti dahulu, lebih senang dikawal dan sukar untuk melepaskan diri daripada kawalan.

Katanya lagi, rentak permainannya pun sudah perlahan mungkin disebabkan strategi jurulatih menggunakan satu penyerang yang membuatkan Mintah senang dikunci.

"Biarkanlah dia pergi ke mana-mana tempat yang jiwanya nak main. Lepaskanlah," kata Bentayan Abe.

Untuk rekod, Mintah sebelum ini ada menyatakan harapan untuk beraksi bersama skuad TFC di bawah kendalian Nafuzi Zain dan itu juga antara sebab mengapa dia tidak berpindah ke pasukan lain.

Namun, hasrat penyerang itu nampaknya tidak kesampaian apabila dia masih dikekalkan bersama TFCII. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram