Pelajar gengster lari lintang-pukang lepas dengar jeritan 'polis!'


  • Tular
  • Selasa, 24 Mei 2022

Tangkap layar video aksi pelajar bergaduh yang tular di media sosial sejak Selasa.

VIDEO pergaduhan beramai-ramai sesama pelajar sekolah menengah tular di media sosial sejak Selasa.

Menerusi video berdurasi 22 saat itu, sekumpulan pelajar dengan anggaran kira-kira 10 orang dilihat melakukan aksi tendangan dan tumbukan antara satu sama lain, dalam kejadian yang berlaku selepas berakhirnya waktu persekolahan.

Meskipun terdapat beberapa orang dewasa yang cuba meleraikan pergaduhan itu, para pelajar terbabit masih berdegil untuk bersurai.

Pergaduhan itu tetap diteruskan sehingga terdengar suara seorang lelaki yang menjerit dan menyeru nama 'polis'.

Para pelajar itu yang ketakutan apabila mendengar seruan nama 'polis', serta merta melarikan diri dan bersurai daripada pergaduhan tersebut.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Sandakan, Sabah berdasarkan maklumat orang ramai selain loghat negeri itu yang digunakan oleh individu di dalam video berkenaan.

Dalam pada itu, polis sedang mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pergaduhan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di Jalan Elopura di Sandakan kira-kira pukul 2 petang.

"Punca pergaduhan serta mereka yang terlibat sedang dikenal pasti oleh pihak polis. Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 47 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan Selasa malam.

Abdul Fuad berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes itu Inspektor Micheal Goh menerusi talian 016-8741216 atau 089-203223. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gaduh, pelajar, sekolah menengah, Sandakan, polis