SATU pergaduhan membabitkan dua individu dalam kejadian dipercayai di Petaling Street, Kuala Lumpur tular di media sosial.
Menerusi rakaman berdurasi satu minit 23 saat, kelihatan berlaku pertengkaran mulut antara seorang wanita berpurdah dan seorang lelaki dipercayai peniaga di kawasan tersebut.
Berkemungkinan besar, wanita berpurdah itu adalah pelancong Arab yang membeli-belah di Petaling Street seperti yang didakwa perakam video berkenaan.
"Arab gaduh dengan Cina. Lokasi Petaling Street," tulis kapsyen video tersebut yang dikongsi laman Facebook Harian Viral.
RAKAMAN video tular kekecohan yang dikatakan berlaku di Petaling Street. — Facebook
Individu yang merakam video tersebut juga mendakwa pergaduhan itu mungkin tercetus gara-gara tuduhan mencuri, namun punca sebenar tidak diketahui.
"Dia curi kot...dia curi laa, kantoi. Kenapa ada suara budak menangis, kenapa jerit-jerit. Tak faham (situasi) ini sebab mereka cakap bahasa Arab," kata perakam video itu.
Rakaman kekecohan itu turut menunjukkan ada orang awam di kawasan kejadian cuba meleraikan pergaduhan antara kedua-dua individu berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis sedang mencari dua individu yang didakwa berselisih faham itu.
Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sudah menjalankan usaha mengesan individu terbabit sebaik sahaja klip video berkenaan tular.
“Siasatan akan dijalankan dan pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram