Gaduh besar punca tentera mati ditikam isteri muda di Kota Samarahan


  • 112
  • Selasa, 05 Apr 2022

KES disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SEORANG anggota tentera darat meninggal dunia akibat ditikam oleh isterinya menggunakan pisau pemotong sayur di paha dalam kejadian yang berlaku di Kem Penrissen, Kota Samarahan, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Sudirman Kram berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) berkaitan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dibawa ke hospital untuk rawatan akibat cedera di bahagian peha akibat tikaman pisau.

"Siasatan awal pihaknya mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dan isterinya di kediaman mereka di Kem Penrissen kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Akibat pergaduhan itu, pisau pemotong sayur yang digunakan oleh isterinya untuk menggertak mangsa tertikam pada bahagian paha suaminya menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan HUS," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sudirman berkata, susulan kejadian itu, isteri mangsa yang merupakan seorang suri rumah berusia 24 tahun ditahan di HUS pada pukul 2.24 pagi.

Turut dirampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian suspek semasa kejadian.

Menurut Sudirman, pasangan berkenaan mempunyai seorang anak.

Tambahnya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram