TULAR di media sosial rakaman video menunjukkan pelakon dan pengacara, Zed Zaidi mengamuk dipercayai selepas perniagaannya diganggu oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium Perdana View di Damansara Perdana, Selangor.
Menerusi satu rakaman yang dimuat naik sendiri Zed Zaidi di TikTok pada Sabtu, dia dilihat sedang berselisih faham dengan seorang individu dipercayai ahli jawatankuasa bangunan.
Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil juga dilihat membawa pemotong dawai bersaiz besar sambil memanjat tangga dipercayai mahu memotong pagar di kawasan itu.
"Untuk kali yang terakhir, tolong berhenti merosakkan harta benda awam," kata individu berbaju-T putih yang cuba menenangkan pelakon itu.
Zed Zaidi bagaimanapun menempelak individu terbabit dengan mengatakan bahawa kawasan kondominium itu adalah tempat awam.
"Eh kau jangan duduk dekat aku. Kalau public property, ini semua public property," katanya sambil menunjukkan kawasan kondominium berkenaan.
Punca perselisihan faham itu tidak diketahui berikutan tiada penjelasan diberikan di ruangan komen atau kapsyen video terbabit.
Zed Zaidi yang juga Presiden Seniman hanya meninggalkan kapsyen ringkas dengan menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan dan ahli jawatankuasa bangunan di tempat dia menjalankan perniagaan.
"Aku memang tak puas hati dengan pengurusan dan ahli jawatankuasa bangunan di tempat aku berniaga ni!!!
"Kalau mau gaduh mari kita gaduh!!! Masa bulan Ramadan nak masuk la kau nak ganggu perniagaan orang!!!!," katanya dalam nada tidak puas hati.
Majoriti juga menunggu respons Zed Zaidi berhubung insiden kekecohan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram