GARA-GARA tidak tahan bapanya diejek, seorang wanita lantas tampil memperjelaskan di sebalik insiden pertengkaran sesama jiran yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Menurut pengguna Facebook, Sabrina SehJa, rumahnya sudah beberapa kali diganggu oleh sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran lokasi kediaman mereka.
Namun katanya, masalah mula timbul apabila ibu bapa kepada kumpulan berkenaan sering kali menafikan anak-anak mereka melakukan pelbagai kelakuan tidak elok kepada jiran tetangga.
"Kes ini bermula sejak 2020 dan berlanjutan sehingga sekarang.
"Ibu bapa mereka mengatakan bahawa mereka masih budak-budak dan sering terlepas.
"Sejak dari itu, mereka melakukan pelbagai provokasi kepada ayah dengan mengejek dan memanggilnya dengan pelbagai gelaran yang kurang enak didengari serta menyinggung perasaan seorang warga emas.
"Setiap kali ayah membuat aduan kepada ibu bapa mereka, mereka menafikan perangai anak mereka seperti itu dan menegaskan normal, budak-budak berkelakuan nakal serta menyuruh ayah supaya jangan menyibuk hal anak mereka.
"Justeru itu, adakah wajar ayah saya hanya membiarkan mereka mengganggu emosi, harta benda serta ketenteraman di rumah sendiri yang sudah lama diduduki?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Tambahnya, bapanya pada Khamis hampir dilanggar oleh kenderaan yang dipandu salah seorang bapa kepada kanak-kanak tersebut.
"Mereka bermain bola di taman permainan berhampiran rumah kami dan bola itu terkena bumbung mengakibatkan ia pecah.
"Pada ketika itu, ayah saya kebetulan berada di hadapan rumah dan terdengar bunyi hentakan lalu melihat bola yang dimain oleh mereka mengenai atap bumbung rumah kami.
"Mereka ke rumah wanita warga Indonesia memakai baju putih selendang coklat cerah (isteri polis bantuan) tersebut seperti kelaziman kerana rumah berkenaan merupakan tempat melepak mereka sejak mula keluarga mereka menyewa di situ.
"Ayah cuba untuk bertanya tentang pelaku kepada mereka dan pada ketika itulah, munculnya wanita warga Indonesia tersebut memarahi ayah kerana dikatakan selalu mencari kesalahan anak lelakinya walhal ayah tidak pun menuduh anaknya.
"Ayah hanya sekadar mahukan kepastian siapa pelakunya.
"Tidak lama kemudian selepas ditelefon oleh isterinya, si suami (polis bantuan) datang dalam keadaan laju cuba untuk melanggar ayah saya tanpa usul periksa. Dia menyatakan ayah saya suka cari gaduh walhal semenjak mereka berpindah ke sini, anaknya punca segala-galanya terjadi," katanya.
Ujarnya, budaya menormalisasi serta membela anak tanpa usul periksa semakin menjadi sejak kebelakangan kerana mendapat 'sokongan' daripada ibu bapa.
"Jiran sekeliling juga tidak berani untuk masuk campur kerana mereka khuatir akan keselamatan dan gangguan oleh kumpulan terbabit seperti yang berlaku pada keluarga kami sehingga ini.
"Kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, adakah kenderaan bertulis PDRM dibawa balik ke rumah untuk kegunaan peribadi, mendatangkan kekacauan serta ketenteraman orang awam bertindak seperti pelaku dalam video tersebut? Mohon penjelasan," menurutnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram