POLIS menahan 10 lelaki awal pagi Sabtu dipercayai bergaduh menggunakan bunga api di Taman Bandar Prima Senawang di Seremban, Negeri Sembilan seperti tular dalam laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kesemua individu berusia 19 hingga 42 tahun itu ditahan pada pukul 4.40 pagi di sekitar daerah ini dan direman selama tiga hari sehingga 9 Mei.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berlaku 2 Mei lepas pada sekitar tengah malam.
"Turut dirampas sejumlah bunga api dan mercun dengan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Semalam, tular satu video berdurasi 29 saat di Facebook yang memaparkan sekumpulan lelaki melakukan gaduh gempar menggunakan bunga api sesama sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram