Dua suspek diburu kes lepaskan tembakan ke rumah anggota PGA Cheras di kampung


  • 112
  • Selasa, 24 Mei 2022

Lokasi kejadian dan kesan tembakan yang dilepaskan ke rumah anggota PGA di Kelantan. — Awani

SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang baru kematian anak dalam kandungan isterinya, dikejutkan dengan dua das tembakan dilepaskan ke arah rumahnya di Bechah Keranji, Melor, Kelantan pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku pada pukul 4 pagi ketika pengadu yang berusia 30 tahun sedang tidur bersama keluarga dan terdengar bunyi letupan kuat seakan tembakan.

"Dia bangun dan keluar membuat pemeriksaan di luar rumah, namun secara tiba-tiba tembakan dilepaskan kali kedua yang kena pada pintu kaca hadapan rumah.

"Pengadu sempat melihat bayang dua lelaki tidak dikenali sedang memegang lampu suluh berada di hadapan rumah dan melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, pengadu bertugas di PGA Cheras, Kuala Lumpur sedang bercuti dan pulang ke kampung bagi menguruskan pengebumian anak dalam kandungan isterinya yang meninggal dunia pada usia enam bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 22 Mei lalu.

"Akibat kejadian tembakan itu, cermin pintu rumah pengadu pecah, terdapat kesan dipercayai tembakan pada bahagian dinding rumah dan kesan lubang sebesar guli pada cermin bahagian hadapan kereta jenis Toyota Hilux milik abang ipar pengadu.

"Pengadu menyatakan semasa kejadian, suspek turut menyuluh lampu ke arah rumah jiran yang kosong dalam jarak 15 meter dari rumah pengadu," katanya.

Muhamad Zaki berkata, pengadu dan keluarga tidak mengesyaki sesiapa terlibat dengan kejadian itu dan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal mendapati tembakan tersebut dipercayai daripada jenis senapang angin dan hasil keterangan pengadu mengatakan tidak ada sebarang masalah hutang atau pergaduhan dengan mana-mana pihak.

"Siasatan bagaimanapun masih diteruskan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek yang terlibat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram