PENYAKIT yang dihadapi pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias berkemungkinan berpunca daripada ekzema dan perlu mendapatkan rawatan segera di klinik kulit.
Perkara itu dimaklumkan pakar kulit dari Klinik Kulit Kuala Lumpur, Datuk Dr Low Bin Tick yang berkata, penyakit tersebut akan bermula daripada alahan biasa sebelum menyebabkan luka dan ditumbuhi beberapa ketulan kecil warna hitam.
"Ini bermula dengan alahan kemudian garu sehingga pecah dan menyebabkan kuman dari kuku masuk dalam daging kulit yang pecah itu.
"Sebab itu ketulan kuning dan hitam itu adalah nanah daripada jangkitan tersebut," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Gambar keadaan terkini yang dimuat naik Kazim menerusi akaun Facebook rasminya pada Khamis.
Sementara itu, Kazim ketika ditemui Utusan Malaysia di Ipoh, Perak berkata, terdapat individu yang memohon maaf kerana pernah menyihirnya sebelum ini.
Kazim berkata, individu itu mengaku menjadi orang suruhan kepada pihak yang menyihirnya sehingga beliau menghidap masalah kesihatan dan malu berhadapan dengan orang ramai.
"Semasa saya sakit, ada orang datang jumpa saya minta maaf dan dia mengaku telah disuruh buat benda-benda itu, saya maafkan dia.
"Tetapi saya tidak tanya kepada dia siapa yang suruh dia buat benda itu kerana saya tidak mahu apabila saya jumpa orang itu, saya nak marah kepadanya,” katanya.
Jelasnya, terdapat juga beberapa pengamal perubatan alternatif yang memaklumkan mengenai siapa yang menyihirnya namun Kazim berkata, dia enggan membuat sebarang tuduhan sebaliknya lebih mementingkan kesembuhan dengan izin ALLAH.
Terdahulu, pada Khamis, Kazim berkongsi penderitaan dialami beliau sejak lapan bulan lalu yang menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan rasa sakit, gatal dan pedih, malah membuatkan beliau gelisah hingga tidak boleh tidur seharian sejak beberapa bulan lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram