Penemuan 11 mayat bongkar pemimpin ajaran sesat minta pengikut makan najis


  • Berita
  • Rabu, 11 Mei 2022

Thawee mengarahkan para pengikutnya memakan kotoran dan najisnya kononnya bertujuan menyembuhkan semua penyakit.

SEORANG pemimpin ajaran sesat yang didakwa meminta para pengikutnya memakan najisnya telah ditahan atas beberapa pertuduhan.

Tangkapan itu dilakukan selepas 11 mayat, kebanyakan milik pengikutnya ditemui di tapak perkhemahan di wilayah tengah Chaiyaphum, Thailand.

Pemimpin itu hanya dikenali sebagai Thawee, 74, yang berasal dari daerah Nong Rua, wilayah Khon Kaen, kata Gabenor Chaiyaphum, Kraisorn Kongchalard pada Isnin.

Kraisorn berkata, Thawee juga didakwa menceroboh tanah hutan dan melanggar undang-undang kesihatan awam dan akta kawalan penyakit.

Thawee ditahan pada Ahad ketika bomoh selebriti, Jiraphen Phetkhao atau lebih dikenali sebagai Mor Pla, mengetuai serbuan pihak polis dan pihak berkuasa dari agensi kerajaan di tapak perkhemahan, yang terletak di dalam hutan di sebuah kampung di Tambon Dong Klang.

Mor Pla sebelum ini dipercayai mempunyai kuasa istimewa untuk membantu orang ramai yang terkesan akibat aktiviti khurafat, selain menjalani program televisyen yang memaparkan beliau berkempen menentang bomoh palsu serta sami Buddha yang melanggar undang-undang sami.

Beliau berkata, seorang wanita dikenali sebagai Jenjira, 53, telah meminta bantuannya selepas ibunya menuju ke tapak perkhemahan, yang dianggap pengikut ajaran sesat itu sebagai lokasi pertapaan serta mereka dilarang pulang ke rumah.

Jenjira mendakwa, pengikut ajaran itu diarahkan untuk melakukan perkara jijik termasuk makan lendir, air kencing, najis dan kelemumur Thawee kerana kononnya boleh menyembuhkan semua penyakit.

Setibanya Mor Pla dan pihak berkuasa di tapak perkhemahan itu, mereka mendapati Thawee yang juga dikenali sebagai 'The Father Thawee' dikelilingi oleh kira-kira 30 pengikutnya yang antaranya merupakan warga emas.

Mereka tinggal bersama di sebuah pondok kayu besar secara sementara.

Semua pengikut mengesahkan kepercayaan mereka kepada pihak berkuasa bahawa mereka menyangka Thawee adalah 'Bapa, Tuhan' yang boleh menyembuhkan mereka dari semua penyakit.

Bukan itu sahaja, mereka juga meminum air kencing selain memakan kulit menggelupas daripada luka dari tangan Thawee di hadapan pihak berkuasa.

Salah satu mayat 11 mayat yang ditemui merupakan ibu Thawee, yang disimpan di dalam pondok tersebut.

Para pengikut mendakwa, mayat-mayat tersebut merupakan milik pengikut yang sakit yang telah meninggal dunia di tapak perkhemahan selepas mendapatkan rawatan di sana.

Selain itu, mereka mahu tubuh mereka kekal di alam barzakh untuk 'Bapa (Thawee) menghantar mereka ke syurga'. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ajaran sesat, Thawee, Thailand, makan najis