Lelaki mengaku ulama sebar ajaran sesat konon seks dibolehkan di bulan puasa


  • Benua
  • Khamis, 14 Apr 2022

Tangkap layar video tular yang memaparkan lelaki itu menyampaikan tazkirah kepada jemaah di sebuah surau.

SEORANG lelaki yang mendakwa dirinya ulama menyebarkan ajaran sesat membenarkan hubungan seks antara suami isteri dan merokok di bulan puasa ketika menyampaikan tazkirah di sebuah surau di Situbondo, Jawa Timur, Indonesia.

Rakamannya ketika menyampaikan tazkirah itu tular di media sosial sehingga pihak polis masuk campur untuk menyiasat perkara itu.

Video tersebut memaparkan lelaki itu, yang memakai jubah putih dan berserban, berdiri dan menyampaikan tazkirah kepada jemaah yang hadir ke surau itu.

"Saudara-saudari, di bulan puasa, kita terutamanya lelaki boleh merokok di siang hari kerana rokok tidak mengisi perut. Dan sekali lagi, mereka yang mempunyai suami atau isteri boleh melakukan hubungan seks di siang hari pada bulan puasa, asalkan tidak bersetubuh dengan isteri orang.

“Jika kamu semua ikut saya, dijamin masuk syurga bersama saya kerana saya seorang ulama yang bijak," kata lelaki itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa agama menegaskan bahawa ajaran yang disampaikan lelaki itu adalah tidak benar dan menyalahi ajaran Islam sebenar.

Menurut wakilnya, puasa adalah untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa termasuklah makan, minum dan juga hubungan seks.

“Memang ajaran ini melanggar syiar Islam mengenai puasa. Berpuasa ialah menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa, termasuk hubungan seks, dari terbit hingga terbenamnya matahari,” katanya.

Namun beliau berkata, lelaki itu tidak perlu dikenakan tindakan lanjut oleh pihak polis, tetapi harus dinasihati oleh ulama atau ahli agama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram