Pemujaan Dajal di Beruas? 'ALLAH tidak akan ampunkan dosa orang syirik'


  • Mukmin
  • Isnin, 29 Nov 2021

ANTARA gambar dikongsikan pengguna Facebook memaparkan kepala lembu berdekatan makam raja-raja Beruas di Beruas, Manjung, Perak pada Sabtu. —Facebook

DALAM era teknologi serba moden hari ini, masih wujud individu yang mengamalkan budaya syirik dengan melakukan pemujaan dan melaksanakan perkara tahyul berbanding mempercayai kekuasaan ALLAH SWT.

Itu yang dipercayai berlaku di Beruas, dekat daerah Manjung, Perak apabila seorang pengguna Mohd Fahrulradzi Mohamad Sapiee dalam hantaranya mendedahkan terdapat aktiviti penyembahan syaitan pada petang Sabtu lalu.

Dalam hantarannya itu, Mohd Fahrulradzi turut berkongsi beberapa gambar memaparkan kepala seekor lembu di pagar berdekatan kubur yang dikatakannya sebagai makam raja-raja Beruas.

Lantas dia mengaitkan kejadian itu dengan kisah Nabi Musa AS dan Dajal.

"Teringat kisah Samiri menyuruh umat Nabi Musa AS menyembah berhala lembu, Samiri yang kemudian dipercayai menjadi Dajal al-Masih.

"Apakah petunjuk yang mahu diberikan tentang kepala lembu ini di Beruas?" soalnya.

Samiri atau Dajal dilahirkan dari keluarga penyembah patung lembu, menurut Malang Times.

Nama penuh Dajal adalah Musa Samiri. Oleh itu, ada dua nama Musa yang terkenal di kalangan Bani Israil, iaitu Nabi Musa bin Imran yang menjadi rasul ALLAH serta Musa Samiri atau Dajal yang menjadi utusan iblis.

Dalam Surah Al-A’raf ayat 152, ALLAH SWT menyatakan dengan jelas hukuman bagi orang-orang yang menjadikan patung anak lembu sebagai sembahan.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menjadikan anak lembu (sebagai sembahannya), kelak akan menimpa mereka kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan di dunia. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang membuat-buat kebohongan,”

Pada masa sama, Nabi Musa AS memerintahkan Bani Israil untuk sama sekali tidak berhubung dengan Dajal atau Samiri.

Patung berhala anak lembu yang dicipta oleh Samiri dibakar, dihancurkan, dilumat hingga menjadi abu, dan abunya dibuang ke laut.

Mengulas lanjut, Mohd Fahrulradzi turut mempersoalkan sama ada peristiwa itu berkait rapat dengan ratusan patung berkepala kambing berusia lebih 3,000 tahun lalu, yang dibawa berarak sempena pemujaan firaun di Kuil Karnak, dekat bandar Luxor, Mesir pada Jumaat.

"Kebetulan di Mesir berlaku majlis mengangkat tinggalan Firaun, yang mana terdapat banyak patung-patung kepala kambing (ram) di Kuil Karnak semalam (Jumaat).

"Apakah ada kena mengena? Boleh lihat melalui pautan acara pemujaan Firaun menerusi pautan https://youtu.be/nWVeHEas0cQ," tambahnya.

Puja Syaitan

Hantaran yang dimuat naik oleh Mohd Fahrulradzi tentang aktiviti pemujaan di Beruas.

Mengulas tentang bahaya syirik, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat, Rafiuddin Mohd. Yusof dalam satu penulisannya berkata sebagai seorang Muslim, mensyirikkan atau menyekutukan Allah SWT merupakan dosa besar.

Beliau mengingatkan kepada mereka yang terlanjur dalam melakukan perkara-perkara syirik seperti pemujaan, memakai tangkal sebagai perlindungan diri, mengagungkan seseorang sebagai Tuhan dan sebagainya, agar bersegeralah bertaubat kepada ALLAH SWT dengan taubat nasuha selagi mana masih bernyawa.

"Jangan sesekali kita termakan dengan hasutan syaitan yang tentu mahukan manusia itu sesat daripada ajaran Islam sebenar. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah SWT akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa-dosa syirik.” (Surah an-Nisa’: 48)

Beliau mengakui bahawa sehingga ke hari ini masih terdapat golongan atau individu yang bangga dengan mengamalkan ajaran serta perbuatan yang merosakkan akidah.

Maka tidak hairanlah masyarakat disajikan dengan berita-berita penahanan individu yang terlibat dengan ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin dan terbaharu ajaran 'Mimpi'.

"Sudah tentu ajaran-ajaran ini terpesong sama sekali dengan akidah Islam kerana kefahaman dan kepercayaan yang pastinya memesongkan akidah sesiapa yang menjadi pengikutnya.

"Seharusnya kita hendaklah sentiasa merujuk atau memaklumkan kepada pihak berkuasa iaitu Jabatan Agama di setiap negeri sekiranya terdapat ajaran dan penyebaran kefahaman yang mengelirukan bagi mengenal pasti kepastiannya.

"Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya agama yang diredai oleh ALLAH SWT ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang diberikan kitab melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu pengetahuan, kerana hasad dengki dalam kalangan mereka. Dan sesiapa yang kufur akan ayat-ayat ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH amat cepat hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali-Imran: 19) Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram