PENGISYTIHARAN taubat oleh seorang ketua ajaran sesat sememangnya memberi pengajaran kepadanya, supaya kembali kepada jalan sebenar agama Islam.
Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur mengisytiharkan dirinya bertaubat secara terbuka pada Isnin.
Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar, 39, membuat pengisytiharan itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Pada majlis itu, dia akui dan sedar bahawa kenyataannya menyebabkan kegusaran awam, kekeliruan, kecemasan dan boleh menyebabkan kecenderungan kepada ganggu gugat, keamanan dan ketenteraman awam.
Majlis taubat itu disiarkan secara langsung di siaran media tempatan.
Sebelum ini, Sittah Annur mendakwa akan berlaku perang dunia ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.
Wanita itu turut mendakwa, dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa depan.
Rata-rata netizen tidak lepas tangan melaksanakan ‘tugas’ mereka bagi mengkritik kewajaran majlis itu diadakan di khalayak ramai.
Salah seorang daripadanya adalah pengguna laman Facebook, Kamaruzaman Abdol Rahim yang mempersoalkan majlis taubat itu.
“Heboh sedunia. Banyak perkara lain yang lebih penting. Jika dia insaf nak bertaubat, biarlah dia buat sendiri,” katanya.
Turut berpendapat sama, Him Rol berkata, dia hairan apabila majlis itu diadakan seolah-olah bagi meraikan seorang ikon negara.
“Masuk je bilik meeting (mesyuarat) cukuplah. Membazir betullah,” katanya.
Antara komen-komen netizen di laman Facebook yang tidak bersetuju isytihar taubat Sittah Annuar diadakan secara terbuka.
Nazri Rahman menulis: “Ini untung dapat siaran terus dalam TV (televisyen), dah jadi orang ternama, sepatutnya tak payah. Nanti ada lagi pulak orang buat,”
Pengguna dikenali Wakc Slayank berkata, seharusnya tindakan taubat dilakukan hanya berdepan dengan Allah SWT, bukannya kepada manusia.
“Sedangkan masa buat dosa Allah jaga aib kita, bila nak taubat manusia pula sebarkan public (secara umum) macam ni secara langsung, terbuka aib lama,” katanya.
Pada masa sama, terdapat netizen yang turut mengucapkan rasa syukur kerana Sittah Annur terbuka hati untuk mengisytiharkan taubat itu.
Tulis Lutfi Amir Ibrahim: “ Alhamdulillah, terima kasih penguatkuasa agama Islam dan pada mereka-mereka yang terlibat atas usaha menyedarkan kesilapan Puan Masitah ni.
“Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua terutamanya Puan Masitah,”
Antara komen-komen positif netizen.
Mohammad Muzani yang juga mengucapkan rasa syukur dan berharap perkara sama berkata, perkara paling penting adalah supaya hidayah dikekalkan.
“Berapa ramai yang mohon diberikan hidayah tetapi lupa doa dikekalkan hidayah akhirnya tercabut hidayah di hujung senja.
“Moga-moga kita semua dikekalkan hidayah,” katanya.
Dyg Asnih meminta orang ramai supaya mendoakan Sittah Annur supaya sentiasa dalam lindungan Allah dan taat dengan ajaran Islam yang sebenar.
“Mungkin dia khilaf,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram