Jemaah solat tidak cukup rukun didakwa sesat


  • Tular
  • Rabu, 23 Feb 2022

TANGKAP Layar rakaman video jemaah yang didakwa mengikuti ajaran sesat. — Facebook Ymm Tengku Malique

SELEPAS video ajaran sesat seorang lelaki Kuala Kangsar di Perak mendakwa kononnya bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi yang berada di Sabah, sebuah video didakwa ajaran sesat turut tular di media sosial.

Menerusi perkongian dari pengguna Facebook, Ymm Tengku Malique, video tular itu memaparkan sekumpulan jemaah dalam keadaan mendirikan solat jemaah namun rukun solat mereka tidak lengkap.

RAKAMAN jemaah itu sedang solat tanpa rukun sembahyang yang cukup.

Dalam video berkenaan difahamkan para jemaah yang terdiri dari beberapa orang lelaki dan wanita itu melakukan solat tanpa membuat rukun solat lain seperti sujud serta salam.

Rata-rata warganet memberi respons bahawa solat mereka itu seakan ajaran sesat kerana mereka melakukan perbuatan berdiri dan rukuk dalam keadaan 35-45 darjah itu berulang kali.

"Kenapa ada orang solat begitu, bukan ajaran Nabi Muhammad SAW," komen dari pengguna Facebook, Obee.

"Aku tengok jadi takut..dunia akhir zaman. Makin banyak ajaran sesat yang muncul. Fitnah Dajjal makin berleluasa. Ya ALLAH, kau kukuhkanlah iman kami dalam mengikuti ajaran-Mu yang sebetulnya ya ALLAH," kata pengguna Facebook, Tasha Rasid.

Dalam pada itu, menjengah di ruangan komen, ada juga yang mendakwa jemaah itu sedang berzikir mengikut cara Sufi.

Susulan perkara itu, pendakwah bebas, Ustaz Abd Rahman Tajudin yang merupakan Felo ISSI (Islamic & Strategic Studies Institute) memberi respons bahawa jika video itu jemaah dalam keadaan solat maka perbuatan itu adalah salah dan sesat di sisi Islam.

"Kalau video tadi itu adalah sembahyang, ya jelas sesat kerana sembahyang ada takbirnya rukuknya sujudnya. Jadi ia tidak sejajar dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka ia sesat.

"Tetapi kalau zikir. Ia tidak sesat sebab ada zikir yang berdiri namun tunduk sedikit iaitu 35-45 darjah.. tetapi dalam gambar itu tunduk banyak sampai 90 darjah.

"Jadi dalam hal ini, perlu ditanya dulu orang dalam video itu apakah itu solat atau zikir," kata kepada Majoriti.

Majoriti kini cuba mendapatkan penjelasan dari pihak Jabatan Agama Islam berhubung kejadian itu dan lokasi video berkenaan difahamkan sama ada berlaku di Malaysia atau negara lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram