'Tahlil' depan berhala bukan di Malaysia


  • Tular
  • Isnin, 07 Feb 2022

TANGKAP layar video tular memaparkan beberapa lelaki dipercayai beragama Islam bertahlil di hadapan patung di sebuah kuil.

BARU-BARU ini, tular satu video yang memaparkan beberapa lelaki dipercayai beragama Islam bertahlil di hadapan patung di sebuah kuil yang mendatangkan perasaan kurang senang pelbagai pihak.

Menerusi video itu, lelaki-lelaki yang berkopiah itu berdiri di hadapan patung bernama Sampo Soei Soe dan Iboe Siti Wati dengan terdapat beberapa batang colok di sekitar kawasan itu.

Video yang berdurasi 26 saat itu tersebar luas di media sosial sehingga ada yang menyangka bahawa itu merupakan salah satu gerakan ajaran sesat baharu di negara ini dan mahu tindakan segera diambil kepada semua individu yang terdapat dalam video berkenaan.

Namun, kejadian itu dilaporkan bukan berlaku di negara ini seperti yang disangka orang ramai, tetapi di Jakarta, Indonesia.

Upacara itu dilakukan di sebuah kuil yang dikenali sebagai Vihara Bahtera Bhakti yang terletak di Jakarta Utara, Jakarta.

Menurut laporan media tempatan, di kuil berkenaan memang terdapat ruang untuk mendoakan Sampo Soei Soe dan isterinya, serta bilik khas untuk mendoakan ibu bapa Siti Wati.

Petugas di kuil tersebut memberitahu bahawa ramai pengunjung yang datang ke kuil berkenaan mendoakan kedua-dua tokoh itu.

Pihak berkuasa Kota Malang, Isroqunnajah berkata, harus dipastikan terlebih dahulu sama ada tahlil yang dibacakan ditujukan untuk siapa.

"Tahlil itu ditujukan pada siapa, itu yang belum jelas. Adakah dia mendoakan orang Islam atau bukan Islam masih belum jelas," katanya.

Difahamkan, Sampo Soei Soe merupakan seorang Muslim dan merupakan tukang masak pelayar tersohor China pada dinasti Ming, Laksamana Cheng Ho. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram