Hidu gam: Perkasa NGO bantu kanak-kanak tiada kerakyatan dapat pendidikan


  • Massa
  • Selasa, 03 Mei 2022

Gambar tular memaparkan sekumpulan kanak-kanak termasuk perempuan melakukan aktiviti menghisap gam di Semporna pada 2015.

AKTIVITI hidu gam dalam kanak-kanak amat menggusarkan orang ramai, kerana golongan tersebut yang sepatutnya mendapat masa depan lebih cerah terpaksa berdepan dengan detik hitam ketika usia masih muda.

Lebih menyedihkan, aktiviti tidak bermoral di Semporna, Sabah itu dilakukan kerana desakan hidup bagi menahan diri daripada kelaparan.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa aktivis Borneo Komrad berkongsi tentang Sekolah Pemulihan Gam yang diwujudkan bagi membantu kanak-kanak stateless (tidak mempunyai kerakyatan) untuk bersekolah, selain memberi kesedaran supaya tidak terjebak dengan aktiviti menghidu gam.

Pengurus Reka Idea Borneo Komrad, Izzat Dahelan berkata, semakin lama semakin ramai yang terjebak dengan aktiviti tersebut sehingga ia menjadi perkara biasa di daerah itu.

"Ramai kanak-kanak di Semporna yang sudah terlibat dengan aktiviti menghidu gam. Antara sebab mereka menghidu gam adalah untuk menahan lapar. Yang kedua, mereka terpengaruh dengan rakan-rakan. Menghidu gam seakan menjadi pendidikan untuk mereka.

"Mereka juga tidak mempunyai pendidikan untuk mengetahui itu perkara betul atau salah. Malah, dengan menghidu gam juga mereka boleh mencipta imaginasi tempat bermain ini.

"Hal ini kerana, jika anda datang ke Semporna, kawasan sangat padat dan terutama di komuniti di tempat stateless. Mereka tidak mempunyai tempat untuk bersuka ria. Jadi menghidu gam ini seakan escapism untuk keluar dari belenggu hidup," katanya.

Tampil mengulas mengenai perkara itu, Dr Norruzeyati Che Mohd Nasir berkata, setiap kanak-kanak tidak kira sama ada berwarganegara atau tiada kerakyatan berhak mempunyai kehidupan sempurna.

Lantaran itu, Pakar Kriminologi dan Koreksional tersebut mengesyorkan bahawa, badan bukan kerajaan (NGO) menerusi sokongan kerajaan perlu diperkasakan bagi membantu kanak-kanak tiada kerakyatan termasuk dari segi pendidikan.

Tambahan pula, katanya, Malaysia membuat reservasi terhadap Artikel 28 (1) (a) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), yang memastikan pendidikan awal diwajibkan dan diberikan secara percuma kepada semua kanak-kanak.

"Jadi, sebab kita reserve kerana memikirkan stateless children dan ada kanak-kanak pelarian. Sebab itu pendidikan kita percuma.

"Sekurang-kurangnya mereka tahu baik buruk hidu gam dan boleh menguasai 3M (membaca, menulis, mengira).

"Tapi, kalau kita biarkan kanak-kanak ini, mereka boleh terdedah dengan gejala sosial yang boleh beri kesan implikasi jangka panjang kepada masyarakat setempat. Itu yang kita bimbang," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti menghidu gam dalam kanak-kanak yang tiada kerakyatan itu sudah menjadi suatu norma disebabkan masalah kelaparan.

Apatah lagi, mereka turut terpengaruh dengan rakan serta melakukan aktiviti itu bersama-sama.

"Perkara tersebut menimbulkan khayal dan akhirnya mereka masih juga menahan lapar.

"Melihat isu kelaparan, kalau nak bantu mereka adalah dengan menyediakan kebajikan sosial dari segi makanan. Tapi, kena tengok juga sebab mereka tiada negara dan dokumen serta bukan rakyat kita," jelasnya.

Tiada keperluan wujud pusat pemulihan dadah untuk kanak-kanak

Kisah-Disebalik-Pusat-Pemulihan-Akhlak-Di-Batu-Gajah2-840x420

Kanak-kanak yang ditakrifkan sebagai tidak terkawal boleh ditempatkan di sekolah pemulihan akhlak. — Gambar hiasan

Ketika ditanya, Norruzeyati berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan pusat pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan aktiviti hidu gam sama seperti kewujudan Pusat Serenti.

Hal ini kerana katanya, kanak-kanak tersebut tidak dianggap sebagai penagih dadah, sebaliknya hanya dikenali sebagai kanak-kanak tidak terkawal serta berdepan dengan pergaulan tidak sihat.

"...yang boleh menyumbang kepada tingkah laku devian (perangai menyimpang daripada normal) lalu mengambil bahan dadah terlarang.

"Itu semua untuk memastikan tiada pelabelan kepada mereka. Sebab kita tahu kanak-kanak yang juga berumur 18 tahun dan ke bawah itu dari segi emosi dan fikiran kognitif masih lagi dalam proses pembentukan kematangan.

"Mungkin kadang-kadang mereka berasa seronok tanpa memikirkan kesan buruk," katanya.

Tambahnya, apabila kanak-kanak tersebut ditakrifkan sebagai tidak terkawal, ibu bapa boleh membawa mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seterusnya ditempatkan di sekolah pemulihan akhlak dalam tempoh setahun hingga tiga tahun.

Sekiranya kanak-kanak tersebut melakukan jenayah berat barulah mereka ditempatkan di Sekolah Henry Gurney - 'tempat hukuman' untuk remaja nakal yang terjebak dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

"Kita tak letak mereka di Pusat Serenti kerana perkara itu akan beri stigma kepada mereka.

"Penglibatan mereka dalam tingkah laku yang kita panggil sebagai devian sebenarnya disebabkan pengaruh kawan atau keinginan untuk mencuba.

"Mereka belum lagi jadi penagih tegar, jadi kita boleh rawat dalam bentuk asingkan dari kawan-kawan dan tempatkan mereka dalam institusi pemulihan akhlak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram