Mekanik Kelantan terlepas tali gantung edar syabu


Peguam bela, Nik Saiful Adli Burhan (kiri) dan Muhammad Hasif Hasan (tengah) berbincang dengan isteri tertuduh (kanan) yang sentiasa hadir memberi sokongan kepada tertuduh.

SEORANG mekanik terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin atas pertuduhan mengedar 58.33 gram (g) dadah jenis metamphetamine, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zambri Ahmad, 38, bagaimanapun dihukum penjara tujuh tahun dan 10 sebatan rotan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan kerana memiliki dadah berkenaan.

Hukuman terhadap tertuduh diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Menurut pertuduhan pilihan itu, Zambri didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 58.33 gram di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Air Chanal, Tanah Merah pada 25 Julai 2020.

Pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada pertuduhan asal, tertuduh didakwa mengedar dadah berkenaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pihak Pendakwaan diwakili Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Saiful Adli Burhan dan Muhammad Hasif Hasan.

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, mahkamah mengambil kira sokongan keluarga terhadap tertuduh yang mana isterinya sentiasa hadir memberi sokongan di mahkamah.

“Mahkamah juga mengambil kira pengakuan bersalah oleh tertuduh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan rotan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Julai 2020,” katanya.

Sebelum itu, peguam bela merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guam mereka kerana tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Mohon mahkamah mengambil kira tertuduh yang diumpamakan ‘terhukum’ apabila tidak dapat menguruskan kematian bapanya hampir dua tahun lalu kerana ketika itu dia berada dalam tahanan reman,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram