Awas pemandu bas, anda diperhatikan!


  • Massa
  • Selasa, 26 Apr 2022

Lokman (kiri) melihat pemeriksaan bunga tayar bas ekspres di Depoh Bas Sani Ekspres di Klang Sentral sempena Hari Raya Aidilfitri 2022.

PEMANDU bas ekspres nampaknya perlu menunjukkan kelakuan yang baik semasa memandu dalam perjalanan hari raya Aidilfitri kerana pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyamar berkemungkinan menjadi antara penumpang bas mereka.

Anggota JPJ berpakaian biasa seperti orang awam akan menaiki bas secara rawak di seluruh negara dari 29 April hingga 8 Mei untuk memantau pemandu.

“Mereka akan pantau untuk memastikan pemandu bas tidak letih, mematuhi peraturan jalan raya, dan tidak di bawah pengaruh dadah atau alkohol,” kata Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Lokman Jamaan pada Isnin.

"Pemandu bas bertanggungjawab ke atas nyawa ratusan orang setiap hari, disebabkan itu anggota JPJ ditempatkan untuk memantau mereka," tambahnya ketika ditemui di Terminal Bas Sani, Klang, Selangor.

“JPJ juga akan menempatkan anggota yang menyamar untuk melakukan pemantauan terhadap penjualan tiket bagi memastikan harga terkawal.

"JPJ telah membekukan cuti raya lebih 2,200 anggota penguatkuasa di seluruh negara dan kira-kira 300 daripadanya bertugas di Selangor.

"Kita telah mengenal pasti 'lokasi panas' di seluruh negara yang mana kakitangan akan dikerahkan untuk bertugas bagi membendung kemalangan jalan raya.

Jabatan itu menganggarkan lebih 14 juta kenderaan berada di jalan raya sepanjang tempoh operasi berkenaan.

“Kira-kira dua juta kenderaan dijangka berada di jalan raya pada satu-satu masa.

“Kami menggesa pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan bertanggungjawab.

"Pemandu yang ditangkap memotong barisan, memandu laju, menggunakan telefon bimbit, melanggar lampu merah dan menyalahgunakan lorong kecemasan akan dibawa terus ke mahkamah dalam tempoh ini.

“JPJ tidak akan mengeluarkan kompaun bagi lima pelanggaran lalu lintas ini,” katanya.

Lokman berkata, JPJ akan melawat 77 terminal dan depoh bas di seluruh negara sebelum hari raya untuk melakukan pemeriksaan bas ekspres.

“Kita telah memeriksa separuh daripada jumlah itu (terminal dan depoh),” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram