Hidu gam nak tahan lapar, sekolah pemulihan di Semporna ada cara tersendiri bela nasib kanak-kanak tanpa kerakyatan


  • Tular
  • Ahad, 10 Apr 2022

Murid-murid duduk dalam bulatan di Sekolah Pemulihan Gam, Semporna, Sabah. — Facebook Borneo Komrad

PERLU diakui tidak semua kanak-kanak di negara dilahirkan dalam keluarga yang bahagia, serba cukup dan menjalani hidup seperti biasa iaitu tidak terjebak dalam masalah sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Mengambil contoh kehidupan kanak-kanak di Semporna, Sabah yang tidak mempunyai kerakyatan, ada dalam kalangan mereka yang terperangkap dalam masalah sosial iaitu terjebak dengan aktiviti menghidu gam, meskipun usia mereka masih muda.

Menerusi video tular di laman Twitter, aktivis Borneo Komrad berkongsi Sekolah Pemulihan Gam adalah untuk membantu kanak-kanak stateless (tidak mempunyai kerakyatan) bersekolah dan memberi kesedaran supaya tidak terjebak dengan aktiviti menghidu gam.

Video dari Borneo Komrad berhubung Sekolah Pemulihan Gam.

Pengurus Reka Idea Borneo Komrad, Izzat Dahelan berkata, idea Sekolah Pemulihan Gam adalah hasil inisatif daripada perbincangan antara kesatuan pelajar Sekolah Alternatif Semporna iaitu institusi pembelajaran yang ditubuhkan oleh aktivis Borneo Komrad.

Bercakap mengenai isu gam di Semporna, Izzat berkata, semakin lama semakin banyak yang terjebak dan menghidu gam hinggakan ia bagaikan masalah normal di daerah itu.

"Ramai kanak-kanak di Semporna yang sudah terlibat dengan aktiviti menghidu gam. Antara sebab mereka menghidu gam adalah untuk menahan lapar. Yang kedua, mereka terpengaruh dengan rakan-rakan. Menghidu gam seakan menjadi pendidikan untuk mereka.

"Mereka juga tidak mempunyai pendidikan untuk mengetahui itu perkara betul atau salah. Malah, dengan menghidu gam juga mereka boleh mencipta imaginasi tempat bermain ini.

"Hal ini kerana, jika anda datang ke Semporna, kawasan sangat padat dan terutama di komuniti di tempat stateless. Mereka tidak mempunyai tempat untuk bersuka ria. Jadi menghidu gam ini seakan escapism untuk keluar dari belenggu hidup," katanya kepada Majoriti.

Lingkungan umur pelajar di Sekolah Pemulihan Gam adalah antara tujuh hingga ke 14 tahun dengan jumlahnya seramai 10 orang.

Aktivis berusia 24 tahun ini berkata modul pembelajaran di Sekolah Pemulihan Gam tidaklah berat seperti sekolah formal yang mana subjek-subjek akademik bukan menjadi fokus utama.

Menurutnya, pihak aktivis mahupun kesatuan pelajar ingin menerapkan dalam diri kanak-kanak itu bahawa sekolah adalah ruang selamat dan banyak aktiviti seronok yang boleh dilakukan di sekolah berbanding menghidu gam.

"Kami tidak terus ajar mereka subjek akademik. Kami tetap ajar ABC, 123 tetapi apa yang kami tekankan adalah supaya mereka berasa seronok. Kami nak mereka rasa bahawa sekolah adalah tempat yang menyeronokkan dan tempat yang akan jaga mereka.

"Kami nak jadikan sekolah sebagai ruang selamat. Maksudanya dari jam 2 hingga jam 5 petang itu, mereka akan berada di sekolah dan tidak menghidu gam. Kami ingin menormalisasikan kehidupan mereka dekat dengan sekolah," jelasnya.

Cara Izzat dan rakan-rakan aktivis mengajak kanak-kanak itu bersekolah adalah dengan berjalan di sekitar kota Semporna dan cuba menyelami kehidupan mereka.

Graduan Universiti Malaysia Sabah itu berkata, kebanyakan kanak-kanak yang menghidu gam dari golongan yang meminta-minta dan gelandangan, oleh itu pendekatan turun padang adalah sangat sesuai untuk ketahui kehidupan mereka.

"Harapan kami untuk menghilangkan persepsi orang ramai tentang isu gam terutamanya dalam kalangan kanak-kanak tanpa negara di Sabah. Ini kerana mereka ini tidak diberi hak untuk mendapat pendidikan.

"Jadi saya harap persepsi buruk terhadap mereka hilang. Kita jangan mencemuh, jangan menguji mereka tetapi bantu mereka dengan beri pendidikan. Saya harap dapat memurnikan pemikiran masyarakat terhadap mereka kerana mereka adalah kanak-kanak tidak bersalah.

"Mereka hanya mangsa keadaan, mangsa undang-undang negara yang masih berpaksikan kepada kewarganegaraan tetapi tidak melihat undang-undang ataupun hak kemanusiaan itu secara menyeluruh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram