Lelaki tetak empat sekeluarga ketika berbuka, positif syabu — Polis


  • 112
  • Khamis, 21 Apr 2022

Gambar tular seorang lelaki yang dikatakan telah menetak ahli keluarganya dalam kejadian di Johor Bahru, pada Sabtu. — Facebook

SEORANG lelaki yang diburu selepas disyaki menetak empat ahli keluarganya menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, di Kota Tinggi, Khamis lepas akhirnya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, lelaki berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah ladang nanas itu, ditahan di Jalan Persiaran Indahpura 4, Kulai pada pukul 11.50 pagi Rabu.

“Lelaki itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya.

“Dia akan direman di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula esok hingga Rabu di Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hussin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Majoriti pada 16 April lalu melaporkan, seorang wanita dipercayai jiran mangsa meminta bantuan orang ramai khususnya warga Kota Tinggi untuk membantu menangkap seorang lelaki yang didakwa telah menetak ahli keluarga sendiri.

Wanita terbabit menggunakan nama Facebook, Ehh Baiyah mendakwa, lelaki berkenaan telah mencederakan isteri dan mak mentua sendiri dengan senjata parang hingga mereka cedera.

Polis kemudiannya mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan sedang memburu lelaki terbabit yang disyaki menetak isterinya berusia 30-an, ibu mentua (50-an), adik ipar perempuan (30-an) serta adik ipar lelaki (16 tahun).

Suspek menggunakan parang ketika menyerang mangsa sewaktu berbuka puasa pada pukul 7.11 malam, Khamis sehingga kesemua mangsa mengalami cedera parah.

Ketika kejadian, dua anak lelaki itu masing-masing berusia lima tahun dan dua bulan berada bersama isterinya, namun kedua-duanya tidak cedera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram