Mengaku tak bersalah edar ganja, bicara Ismahalil Hamzah bermula Oktober


Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021. — Sinar Harian

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tiga hari bermula 19 Oktober ini untuk perbicaraan kes penyampai radio Ismahalil Hamzah, yang didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis, Ogos tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 19, 20 dan 31 Oktober untuk perbicaraan, selepas peguam yang mewakili Ismahalil Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, memohon tarikh bicara ketika sebutan kes itu, pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya bercadang untuk memanggil enam hingga tujuh saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

"Pada prosiding hari ini (Khamis), pendakwaan juga telah menyerahkan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan,” katanya.

Ahmad Zaharil mengesahkan perkara tersebut, selain memaklumkan pihaknya akan menulis surat kepada mahkamah untuk mendapatkan tarikh sebutan baharu sekiranya terdapat representasi atau perkembangan terbaru mengenai kes.

Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram