Kantoi akibat foto bercium, raja dadah dikehendaki di 200 negara ditahan pihak berkuasa


  • Benua
  • Isnin, 25 Apr 2022

Foto Berdugo dan teman wanitanya sedang bercium di Valle del Cauca membantu DEA bagi menjejaki lokasi mereka. — Agensi

SEORANG raja dadah Mexico yang dikehendaki di 200 negara akhirnya ditangkap selepas dia 'meninggalkan semua protokol keselamatan' untuk menghabiskan beberapa malam bersama seorang model.

Brian Donaciano Olguin Berdugo, 39, dilaporkan pergi ke Colombia untuk menjalankan rundingan perjanjian kokain dengan Angkatan Bersenjata Revolusioner Tentera Rakyat Colombia (FARC).

Kumpulan gerila Marxis dipercayai membiayai entiti itu dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti haram termasuk pengedaran dadah.

Berdugo, yang dikenali dalam kalangan 'geng' dadahnya sebagai Pitt, menjalankan perniagaan dengan FARC bagi pihak Sinaloa Cartel, salah satu kumpulan dadah terkenal di dunia.

Tetapi, selepas menyelesaikan tawarannya, Berdugo pergi menemui seorang model di sebuah apartmen mewah di bandar Cali, Valle del Cauca.

Pasangan itu dilaporkan tinggal di sana selama beberapa malam dan wanita yang tidak disebutkan namanya itu akhirnya berjaya menyakinkan Berdugo untuk melawat tempat pelancongan yang sibuk di Cerro de los Cristales.

0_PAY-Newsflash-RomanticDate-02

Raja dadah Mexico ini ditahan dalam tahanan dengan perintah ekstradisi kepada AS.

Model itu menyiarkan foto mereka berdua sedang bercium dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (AS) (DEA) mengesan lokasi mereka.

Selain itu, kamera keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Maria Cordova juga dapat merakam Berdugo dengan wanita berbeza.

DEA berkata, Polis AntiNarkotik Colombia dan pegawai risikan mengikuti Berdugo selama dua minggu sebelum menangkapnya.

Jurucakap polis, Jeneral Jorge Vargas Valencia berkata, pihaknya percaya keputusan itu adalah penting dari segi menangkap ahli-ahli sindiket kartel Mexico yang datang untuk melakukan jenayah pengedaran dadah dengan FARC di Cauca.

Raja dadah Mexico itu ditahan dalam tahanan dengan perintah ekstradisi ke AS, manakala peguamnya cuba menghalang perkara ini.

Dalam pada itu, polis dilaporkan mendakwa mereka ditawarkan AS$265,000 (RM1.15juta) sebagai rasuah untuk membebaskannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram