SEORANG lagi rakyat Malaysia, Datchinamurthy Kataiah, dijadual menjalani hukuman gantung sampai mati di penjara Singapura pada Jumaat.
Ia menyusul selepas pelaksanaan hukuman serupa dijalankan ke atas Nagaenthran Dharmalingam, 34, pagi Rabu.
Kedua-dua mereka ditahan, dibicarakan dan dihukum mati atas sebab yang sama: dadah.
Jadual pelaksanaan hukuman ke atas Datchinamurthy itu dimaklumkan melalui sepucuk surat daripada Jabatan Penjara Singapura yang bertarikh 22 April lalu.
Pemuda berusia 36 tahun mendekam di Penjara Changi untuk menunggu nasibnya sejak 2015. Sebelum itu dia ditahan dan didakwa atas tuduhan mengedar 44.9g diamorphine.
Ia merupakan dadah yang diperbuat daripada heroin.
Datchinamurthy ditahan bersama seorang wanita Singapura pada 18 November 2011. Tidak seperti Datchinamurthy, wanita terbabit dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah Singapura.
Untuk rekod, republik berkenaan adalah antara negara yang menguatkuasakan undang-undang antidadah paling tegas di dunia.
Poster Nagaenthran diletakkan di Hong Lim Park, Singapura sebelum tarikh akhir hukuman matinya. — Reuters
Dalam sepucuk surat yang ditulis teman wanita Datchinamurthy - dan dikongsikan kumpulan Sebaran Kasih - dia bercerita mengenai lawatan kali terakhir dilakukan ke penjara terbabit pada 26 April lalu.
“Semuanya terus bermain di fikiran saya: ketawa, jenaka, saat-saat yang menggembirakan. Amat menyedihkan untuk kehilangan seseorang yang kita sayangi dengan cara yang kejam seperti ini.
"Saya seperti tidak percaya apabila kita berbincang mengenai pengebumian kamu.
"Saya harap kamu mendapat kebebasan yang tidak diberikan oleh dunia ini. Saya berharap kamu akan dibebaskan daripada perjuangan antara hidup dan mati. Saya harap kamu akan masuk ke dunia tuhan.
“Hidup di dunia ini sukar - kerja, pendapatan, keluarga, anak-anak dan ibu bapa - ia bukan mudah.
"Jika kamu perlu pergi dahulu, kita akan berjumpa semula apabila tiba masa saya pula," kata surat itu.
Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan, Sebaran Kasih berkata, sukar untuk menerima kenyataan bahawa seorang lagi rakyat Malaysia akan menjalani hukuman mati ketika peristiwa dilalui Nagaentran baru saja berlalu.
“Surat ini akan menjadi surat terakhir kepada Datchinamurthy daripada orang yang disayanginya jika dia dihukum mati pada Jumaat ini.
"Bacalah surat itu untuk memahami dan merasai kesedihan teman wanita Datchinamurthy yang menunggu kematiannya," katanya. — Malaysiakini
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram