Proton Satria 'road tax' mati lawan arus rempuh wanita warga emas, dua kereta di Jeram


  • Tular
  • Khamis, 28 Apr 2022

Tangkap layar video kejadian ketika pemandu Proton Satria melanggar seorang warga emas berbaju merah jambu.

SEORANG pemandu Proton Satria berwarna kuning didakwa bertindak cuai apabila bukan sahaja memandu dari arah bertentangan, malah turut merempuh seorang wanita warga emas dan dua kereta di Jalan Bukit Kuching menghala ke Jalan Sasaran, Jeram Selangor pada Khamis.

Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 7.10 pagi itu, pemandu kereta berwarna kuning berkenaan dilihat memandu secara laju dan melanggar wanita warga emas, sekali gus melanggar dua kereta yang berada di lokasi kejadian.

Pelanggaran itu turut menyebabkan wanita warga emas itu terjatuh ke dalam longkang berhampiran.

Seorang pengguna Facebook, Loong Yeh Lee mendakwa, mangsa merupakan ibu saudaranya dan kini sedang dirawat di hospital akibat insiden itu.

Long Yeh Lee mendakwa, pemandu Proton Satria tersebut tidak memiliki cukai jalan atau road tax yang sah.

"Seperti dalam rakaman, pemandu wanita tersebut dibawa balik member (rakan) dia tidak lama lepas kemalangan.Pemandu tak mampu untuk tinggalkan nombor telefon dan tiada sesiapa member yang tinggalkan nombor juga.

"Harap sesiapa yang kenal pemandu atau keluarga dorang (mereka), minta beritahu untuk membuat laporan polis secepat mungkin dan harap pemandu wanita ini boleh melawat aunty (mak cik) selepas ini.

"Dan pemandu please messenger I nombor telefon," katanya.

Loong Yeh Lee mendakwa, semua rakaman CCTV dan gambar-gambar kejadian akan diberi untuk siasatan pihak berkuasa.

Pada masa sama, dia turut menasihatkan orang ramai yang melalui jalan tersebut supaya memandu secara berhati-hati dan memperlahankan kenderaan.

template (39)

Gambar Proton Satria yang sempat dirakam (kiri) ketika kejadian, manakala gambar (kanan) cukai jalan kereta suspek yang tidak sah.

Dalam video berasingan, sekumpulan lelaki dan wanita dipercayai rakan pemandu tersebut dilihat mengeluarkan barangan dari dalam kereta suspek, sebelum meletakkan barangan tersebut di dalam kereta pacuan empat roda yang lain.

Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram