Nyawa melayang dilanggar lori ketika buat 'content' YouTube


  • Benua
  • Isnin, 04 Apr 2022

PIHAK polis Indonesia sedang memeriksa mayat mangsa. — Agensi

SEORANG remaja bernama Ragi Alamsyah yang berusia 14 tahun maut dilanggar oleh sebuah lori di Jalan Raya Lingkar Selatan, Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia pada Isnin.

Ketika kejadian, mangsa difahamkan bersama rakannya sedang membuat kandungan YouTube di kawasan tersebut, tetapi malang menimpa dirinya apabila sebuah lori tiba-tiba melanggarnya.

Mangsa meninggal dunia dengan kecederaan parah di kepala.

Menurut saksi, mangsa dan rakannya dilihat membuat video untuk YouTube di tengah jalan raya yang sibuk yang menyebabkan remaja itu dilanggar manakala tujuh rakannya sempat melarikan diri.

Selepas melanggar mangsa, lori tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian.

Fadli, salah seorang saksi yang melihat kejadian itu berkata, pada waktu kejadian remaja terbabit sempat memberhentikan lori yang lalu namun lori tersebut gagal mengawal kenderaannya.

Walaupun tidak melihat dengan jelas kejadian langgar lari itu, namun dia ternampak sekumpulan remaja itu sedang berkumpul di tengah jalan raya dan tiba-tiba mangsa terbaring di atas tanah.

Sejurus menerima panggilan, Unit Trafik, Polis Kota Sukabumi melakukan siasatan di tempat kejadian dan menyoal siasat beberapa rakan mangsa.

Bagi mengenal pasti punca kematian, mangsa dikejarkan ke hospital untuk bedah siasat.

Pihak polis mendakwa, kenderaan itu dipandu terlalu laju dan hilang kawalan sebelum melanggar mangsa.

Tujuh rakan mangsa akan disoal siasat untuk mencari maklumat tambahan berkaitan insiden itu.

Malah, polis juga masih mencari identiti lori yang melanggar remaja itu dengan meneliti beberapa saksi dan melihat CCTV di sekitar lokasi kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

maut, dilanggar lori, content Youtube, remaja