POLIS akan mengambil keterangan daripada pemilik kereta Myvi model baharu berwarna putih yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari membabitkan pemain skuad belia Kelantan United di Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat, Kelantan pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya akan memanggil wanita tersebut yang merupakan pemilik kereta itu untuk memberi keterangan berhubung insiden terbabit dalam masa terdekat.
"Polis sudah menerima laporan tentang kejadian langgar lari ini yang melibatkan tiga orang mangsa yang juga pemain belia Kelantan United, jadi kita akan siasat.
"Pemilik kereta Myvi itu juga beralamat di Selangor seperti dakwaan rakan mangsa kemalangan tersebut," katanya kepada Majoriti pada Khamis.
Terdahulu Majoriti melaporkan tiga pemain skuad belia Kelantan United yang baru pulang daripada menjalani latihan pada petang Rabu, mengalami kecederaan selepas dipercayai terlibat kemalangan langgar lari dalam kejadian di Chabang Empat Tok Mek Ngah.
Perkara itu dikongsikan ahli fisioterapi pasukan tersebut, Zamry Zulkarnain menerusi Facebook Kelantan Kito dan mendakwa, mangsa yang menaiki motosikal dilanggar sebuah Myvi model baharu berwarna putih, dipandu seorang suspek lelaki.
"Ni nombor plat kereta suspek (S**5***). Pemilik nombor perempuan tinggal di Selangor tetapi suspek yang langgar tu lelaki... kereta Myvi model baru," dakwanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kereta itu kenderaan curi memandangkan ia dipandu suspek lelaki ketika kejadian dan bukan wanita terbabit, Mohd Azmir berkata, pihaknya juga sedang menyiasat perkara itu.
Ditanya lagi jika terdapat kemungkinan kereta itu digunakan oleh ahli keluarga wanita terbabit, beliau memaklumkan, pihaknya akan meneliti perkara itu menerusi siasatan terhadap suspek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram