'Mereka tidak sedar diri seketika akibat kepala terhentak'


  • Podium
  • Khamis, 24 Feb 2022

DUA daripada tiga pemain skuad belia Kelantan United yang mengalami kecederaan akibat insiden langgar lari pada malam Rabu. — Facebook

TIGA pemain belia Kelantan United hanya mengalami cedera ringan dan boleh menjalani latihan seperti biasa.

Perkara itu disahkan ahli fisioterapi kelab itu, Mohammad Zamri Fauzi yang sebelum ini memuat naik laporan kemalangan membabitkan tiga pemain tersebut akibat dilanggar lari sebuah Myvi berwarna putih.

Kejadian itu berlaku di Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat, Kelantan pada malam Rabu apabila kesemua pemain berkenaan pulang dari latihan.

Mengulas lanjut keadaan kecederaan pemain terbabit, Zamri berkata, mereka tidak sedarkan diri selepas dilanggar kenderaan terbabit akibat kepala terhentak.

"Beberapa jam lepas mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Tumpat, mereka dah sedarkan diri dan boleh berjalan.

"Mereka hanya mengalami luka ringan dan bengkak.

"Alhamdulillah tiada kecederaan dalaman yang serius dan mereka boleh menjalani latihan seperti biasa," katanya kepada Majoriti.

Pada Rabu, Zamry menerusi perkongsian di Facebook Kelantan Kito mendakwa, mangsa yang menaiki motosikal dilanggar sebuah Myvi model baharu berwarna putih yang dipandu seorang suspek lelaki.

"Ni nombor plat kereta suspek (S**5***). Pemilik nombor perempuan tinggal di Selangor tetapi suspek yang langgar tu lelaki... kereta Myvi model baru.

"Saksi yang nampak nombor plat kereta tersebut jatuh tu salah seorang pemain juga tapi dia naik kereta lain, ikut belakang motosikal dinaiki mangsa," tulisnya di hantaran berkenaan.

Zamry mendakwa, saksi ternampak nombor plat kereta itu terjatuh dan sempat mengutipnya. Pada masa sama, saksi itu juga segera memberikan pertolongan kepada mangsa terlibat.

"Ada seorang lagi saksi yang menaiki kereta Proton Gen 2 pun ternampak plat kereta Myvi itu terjatuh tetapi dia tolong kejar kereta berkenaan. Takkan nak turun kutip plat dulu, tu pun abang Gen 2 tu tak sempat kejar Myvi tersebut sebab tayarnya pecah. Kasihan pula kat dia.

"Kalau ada abang tu dalam post ni saya mewakili mangsa ucap terima kasih sebab hulurkan pertolongan," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram