SEORANG lelaki bertindak mengejar seorang pemandu kereta Toyota CH-R yang didakwa melanggar dua pengguna jalan raya lain pada malam Isnin lalu.
Difahamkan, pemandu Toyota berwarna maroon itu pada mulanya melanggar seorang pengguna jalan raya di laluan bertingkat (flyover) Taman Tun Aminah, sebelum melanggar mangsa kedua dekat East Ledang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor.
Menurut perkongsian video Mohamad Fik Ri, dia sempat merakam kejadian di mana suspek melanggar mangsa kedua, seorang penunggang motosikal.
Video tersebut memaparkan, kereta suspek melalui sebelah kiri penunggang motosikal sebelum merempuh mangsa ketika membuat pusingan-U.
Lebih teruk, mangsa yang terjatuh itu kemudian ditinggalkan keseorangan di tengah jalan dan suspek terus memecut kenderaannya.
Berang dengan perkara itu, saksi kemudian bertindak mengejar suspek selain sempat merakam nombor pendaftaran kereta tersebut, iaitu JTE 1**7.
"Kes langgar lari berlaku semalam (Isnin) dekat flyover Taman Tun (Aminah) hingga ke East Ledang, GP.
"Dua orang sekali dia sapu lain tempat. Salah seorang dari mangsa Amer Iqbal Ishak," katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Menjengah ke laman Facebook Amer Iqbal Ishak, Majoriti mendapati, mangsa telah membuat laporan polis berkaitan kes tersebut.
Mangsa memberitahu, suspek lelaki memandu kereta berkenaan ditemani seorang wanita di sebelahnya ketika kejadian itu.
"Dah langgar orang dari atas flyover Skudai dan lari hingga East Ledang.
"Hujung-hujung dengan aku sekali kena sondol (langgar) tegaknya. Sampai masa mesti kena punya. Terima kasih pada saksi footage ni 'Nadia Nady and the gang', Thank you Mohamad Fik Ri," katanya.
Pada masa sama, Majoriti masih cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi dan suspek.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram